Saturday, June 13, 2026

Dua ditahan di KLIA cuba seludup ratusan haiwan eksotik

Siasatan awal mendapati kedua-dua individu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau surat kebenaran membawa keluar hidupan liar berkenaan.

Mesti Baca

CUBAAN dua lelaki tempatan untuk menyeludup keluar ratusan haiwan eksotik berjaya digagalkan dalam satu pemeriksaan secara bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, hasil pemeriksaan pada 6.30 pagi itu berjaya menemui lebih 300 ekor haiwan liar spesis eksotik dan dilindungi yang disorokkan dalam bagasi milik dua lelaki tersebut. 

Agensi itu berkata, antara spesies haiwan eksotik tersebut adalah blue iguana, red-eared slider, Savannah monitor, Nile monitor, common spotted cuscus, black-throated monitor dan lain-lain lagi.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua individu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau surat kebenaran membawa keluar hidupan liar berkenaan,” kata kenyataan AKPS hari ini.

Katanya, mereka ditahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Antara spesies eksotik yang dirampas daripada dua lelaki di KLIA.

AKPS menjelaskan, kesemua hidupan liar tersebut telah dirampas serta disita untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan lebih kurang RM460,000,” katanya.

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu antara AKPS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) akan terus dipergiatkan demi  membanteras penyeludupan hidupan liar serta memastikan pemuliharaan biodiversiti negara terus terpelihara.

Tegasnya, sebarang pemilikan, pemindahan, atau perdagangan hidupan liar tanpa kebenaran sah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan