Thursday, June 4, 2026

‘Adik’ singkir ‘abang’ di suku akhir Masters Malaysia

Man Wei Chong-Kai Wun Tee menang ke atas beregu utama negara, Goh Szu Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara ke separuh akhir.

Mesti Baca

BEREGU lelaki ketiga negara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee menang ke atas beregu berstatus ‘abang’, Goh Szu Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton Masters Malaysia esok.

Wei Chong-Wun Tee masing-masing berusia 25 tahun berjaya mengetepikan beregu profesional negara yang kini menduduki ranking kedua dunia itu dengan 10-21, 21-7, 21-16 di peringkat suku akhir dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pilihan kelima kejohanan itu akan bertemu pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menewaskan pasangan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-10, 21-13 di peringkat suku akhir.

Beregu lelaki kedua negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara ke separuh akhir selepas mengenepikan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-10, 21-19.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut bagi pasangan No 3 dunia itu ke atas pasangan Denmark selepas menewaskan mereka di ‘final’ Masters Thailand minggu lalu.

Di separuh akhir esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan No 1 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang sebelum itu menyingkirkan rakan senegara Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-16, 22-20.

Sementara itu,  beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah meneruskan rentak kecemerlangan apabila menumpaskan Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi di suku akhir petang ini.

Pearly-Thinaah yang masih segar dengan gelaran juara Masters Thailand minggu lalu mengetepikan pasangan Indonesia itu dengan 21-14, 21-14 dalam masa 34 minit.

Mereka akan dicabar Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China di peringkat suku akhir esok iaitu pertemuan ketiga mereka tahun ini setelah sebelum ini masing-masung mencatatkan satu kali kemenangan.

Semua perlawanan akan berlangsung di Axiata Arena bermula 12 tengah hari dan sokongan para peminat badminton tempatan didambakan bagi memberikan sorakan padu kepada para pemain negara.

Ayuh Malaysiaku Boleh!!

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan