DEKLARASI Kuala Lumpur (Deklarasi KL) 2025 yang bakal dilancarkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 disifatkan sebagai satu penanda aras baharu kepada pendirian tegas ASEAN dalam berdepan cabaran geopolitik dunia yang semakin kompleks dan mencabar.
Pakar geostrategi, Profesor Azmi Hassan berkata, kali ini fokus deklarasi tidak lagi hanya tertumpu kepada isu-isu pembangunan sosial atau pendidikan seperti yang sering ditekankan dalam deklarasi sebelum ini.
Sebaliknya, beliau berkata, Deklarasi KL 2025 tampil dengan pendekatan lebih lantang, memperlihatkan kesungguhan Malaysia untuk memimpin ASEAN dalam menghadapi tekanan dan pengaruh kuasa-kuasa besar dunia.
“Berbanding deklarasi-deklarasi sebelum ini yang lebih bersifat pembangunan atau pendidikan, kali ini Deklarasi Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada isu geopolitik serantau dan antarabangsa, khususnya ketegangan yang wujud antara China dan Amerika Syarikat,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.
Menurut beliau, pemilihan tema Bebas Dari Campur Tangan Asing bukan sesuatu yang bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya mencerminkan keazaman negara-negara ASEAN untuk mengukuhkan kedudukan blok ini sebagai satu entiti serantau yang berkecuali, berdaulat dan tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini berperanan penting untuk mengangkat suara ASEAN dalam isu-isu besar seperti konflik di Gaza, perang di Ukraine, kemelut India-Pakistan serta ketegangan yang berterusan di Laut China Selatan.
“Perdana Menteri mahu membawa ASEAN ke tengah pentas dunia sebagai blok yang mampu membuat pendirian sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak luar.
“Inilah masanya untuk ASEAN menunjukkan bahawa kita tidak mudah diperalatkan dalam konflik kuasa-kuasa besar,” ujarnya.
Azmi turut menekankan bahawa isu Myanmar dan Laut China Selatan adalah dua contoh paling relevan yang menunjukkan keperluan mendesak bagi ASEAN mencapai konsensus dalaman.
Campur tangan asing, katanya, hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan kebersamaan ASEAN.
“Dalam isu seperti Myanmar dan Laut China Selatan, kita tidak boleh benarkan kuasa besar menentukan hala tuju kita. ASEAN mesti buat keputusan secara konsensus demi kepentingan bersama, bukan untuk menyenangkan hati mana-mana negara luar,” kata beliau.
Sebagai sebahagian daripada strategi diplomasi Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melantik beberapa tokoh penting dari negara-negara anggota ASEAN sebagai penasihat rasmi.
Antara nama yang disebut ialah bekas Thaksin Shinawatra dari Thailand dan Hun Sen dari Kemboja serta beberapa lagi pemimpin utama dari negara ASEAN sebagai penasihat tidak rasmi supaya mudah serta diyakini mampu membantu memperkukuh proses rundingan serta mempercepatkan pencapaian konsensus di kalangan negara ASEAN.
“Ini bukan pelantikan biasa. Ia strategi. Dengan adanya tokoh-tokoh serantau sebagai penasihat rasmi, kita boleh mendapatkan sokongan dan persefahaman lebih cepat. Ini penting dalam suasana geopolitik sekarang yang penuh ketidaktentuan,” kata Azmi.
Beliau turut menjelaskan bahawa tanggungjawab Malaysia sebagai penganjur deklarasi tidak berakhir sebaik sidang kemuncak selesai sebaliknya perlu terus memainkan peranan memantau pelaksanaan deklarasi tersebut dalam jangka masa panjang.
“Kebiasaannya, negara yang mencetuskan deklarasi akan terus memantau pelaksanaannya, bukan setahun dua tetapi boleh sampai lima ke 10 tahun bergantung kepada impak dan skop deklarasi itu.
“Jadi, kalau Deklarasi KL 2025 ini memerlukan masa sedekad, maka selama itu jugalah Malaysia perlu memainkan peranan memastikan ia tidak hanya tinggal sebagai retorik semata-mata,” katanya.
Azmi menyifatkan Deklarasi KL 2025 sebagai “dokumen hala tuju” yang bakal menentukan sama ada ASEAN mampu keluar dari bayang-bayang kuasa besar dan membentuk identiti politik luar yang tersendiri atau sebaliknya.
“Ini bukan sekadar kertas deklarasi. Ini adalah kenyataan bersama bahawa ASEAN mahu berdiri atas kaki sendiri dalam hal ehwal dalaman dan juga dalam isu-isu global yang mencabar masa depan rantau ini,” katanya lagi. – Edisi 9

