NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu, semalam.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memperoleh majoriti besar apabila mendapat 9,803 undian mengatasi Rafizi yang juga penyandang jawatan itu yang mendapat 3,866 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selepas Anwar merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2025 di Johor Bahru, malam ini.
Untuk rekod, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2018.
Bagaimanapun, beliau berjaya menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan tahun 2022 sehingga dicabar oleh Nurul Izzah.
Sementara itu, dua menteri besar iaitu Amirudin Shari dan Aminuddin Harun serta Chang Lih Kang berjaya mengekalkan jawatan Naib Presiden masing-masing di samping R. Ramanan selaku muka baharu.
Berikut senarai keputusan rasmi Pemilihan PKR 2025:
Presiden: Datuk Seri Anwar Ibrahim
Timbalan Presiden: Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden:
Datuk Seri Amirudin Shari
Datuk Seri R. Ramanan
Datuk Seri Aminudin Harun
Chang Lih Kang
Ketua Wanita: Fadhlina Sidek
Timbalan Ketua Wanita: Juwairiya Zulkifli
Ketua AMK: Muhammad Kamil Abdul Munim
Timbalan Ketua AMK: Izuan Kasim

