Sunday, July 19, 2026

Khutbah Jumaat: Kasih ibu asas pembinaan insan bertaqwa

Islam sangat menuntut umatnya untuk mengiktiraf, menghargai dan memberi khidmat sebaiknya kepada insan yang bergelar ibu. 

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. 

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Para jemaah dingatkan supaya jangan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.

Pada hari ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Sentuhan Kasih Ibu Asas Pembinaan Insan Bertaqwa.”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah mengurniakan kita nikmat yang paling agung iaitu nikmat dilahirkan dalam fitrah Islam. 

Bukan semua manusia diberi peluang untuk mengenal Allah SWT sejak kecil. Tetapi kita, dengan izin Allah SWT, dibesarkan dalam suasana Islam, diajar mengenal Allah SWT dan para Rasul-Nya, dididik untuk mendirikan solat, mengaji al-Quran serta memahami batas halal dan haram sejak dari kecil lagi. 

Allah SWT sendiri mengiktiraf jasa seorang ibu sepertimana firman-Nya dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. (Dengan yang demikian), bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibubapamu dan (ingatlah) hanya kepada Aku jualah tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Para hadirin yang dimuliakan,

Siapakah dia insan yang paling awal mencorakkan hidup kita dengan Islam Tidak lain dan tidak bukan, itulah ibu, insan pertama yang paling banyak berjasa dalam hidup kita. 

Sejak dalam kandungan lagi, kasihnya sudah mengalir. Dia menanggung keperitan ketika mengandung, menanggung kesakitan ketika melahirkan, sanggup berjaga malam dan bersabar demi memenuhi keperluan kita.  

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak dilahirkan di atas fitrah (kesucian Islam), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi. Seperti halnya binatang melahirkan anaknya dengan selamat, adakah kamu melihat padanya sebarang kecacatan (sejak lahir)?”. (Riwayat al-Bukhari)

Hadirin Jumaat yang Berbahagia,

Rasulullah SAW sendiri meletakkan ibu pada kedudukan yang sangat tinggi. Apabila ditanya siapakah yang paling berhak untuk dilayani dengan baik, Baginda SAW menyebut “ibumu” sebanyak tiga kali sebelum menyebut “bapamu”.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya:

“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Вараmu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini memberi isyarat yang jelas bahawa Islam sangat menuntut umatnya untuk mengiktiraf, menghargai dan memberi khidmat sebaiknya kepada insan yang bergelar ibu. 

Ini kerana melalui kasih sayang, doa dan didikannyalah terbentuknya siapa kita pada hari ini.

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Ramai tokoh besar lahir daripada didikan ibu yang sabar dan tegas. Antaranya kisah ibu kepada Imam al-Syafi’i, iaitu Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah, yang memberikan contoh nyata bagaimana kasih sayang, kecekalan dan kebijaksanaan seorang ibu mampu membentuk seorang anak menjadi insan agung yang memberi manfaat kepada umat sepanjang zaman.

Beliau bukan sekadar seorang ibu, bahkan menjadi insan terawal yang membentuk kefahaman dan keperibadian Imam al-Syafi’i dalam mengenal agama dan mencintai ilmu. 

Setelah kematian suaminya ketika usia muda, beliau tidak mewarisi sebarang harta, namun tidak menjadikan kemiskinan sebagai halangan untuk memberikan pendidikan terbaik buat anaknya.

Beliau sanggup berhijrah dari Gaza ke Mekah, semata-mata untuk membolehkan anaknya menuntut ilmu dan menghafal al-Quran sejak kecil.

Beliau juga menghantar anaknya ke kawasan perkampungan yang masih mengekalkan keaslian bahasa Arab, supaya lidah dan kefahaman anaknya terpelihara.

Hasil daripada asuhan tangan seorang ibu seperti beliau, lahirlah seorang ulama besar yang mampu memberikan fatwa sejak usia 15 tahun, di bawah bimbingan Imam Malik.

Hari ini, sebahagian besar dunia Islam mengikut mazhabnya. Maka, jasa dan didikan ibunya bukan sahaja berjaya mencorakkan keupayaan Imam al-Syafi’i, tetapi juga berjaya memberi kesan kepada peradaban dunia Islam.

Begitulah hakikat sentuhan kasih ibu yang tidak mengharapkan apa-apa balasan tetapi mampu memberi kesan kepada hati dan pembentukan akhlak anak-anak. 

Seorang ibu itu sentiasa memandang anaknya dengan penuh harapan, menaruh sangka baik dalam segala keadaan sama ada senang mahupun susah. 

Dalam doanya, terkandung keyakinan bahawa anaknya akan menjadi insan yang berguna. Sebab itu, ibu tidak hanya dikenang pada hari tertentu. 

Bahkan Islam menuntut kita untuk terus berbuat baik kepada ibu dan mendoakan mereka selagi hayat dikandung badan.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Marilah kita hayati sebuah kisah yang direkodkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang lelaki soleh bernama Juraij, seorang ahli ibadah daripada kalangan Bani Israel. 

Beliau terkenal dengan amalannya dan kesungguhannya beribadah kepada Allah SWT. 

Namun, Allah SWT tetap mengujinya, bukan untuk menjatuhkan, tetapi sebagai peringatan penting buat umat Islam.

Mafhum daripada kisah ini, suatu hari ketika Juraij sedang khusyuk menunaikan solat sunat, ibunya datang memanggilnya. Tetapi kerana terlalu ingin menyempurnakan solatnya, Juraij tidak menyahut panggilan si ibu.

Kejadian itu berlaku berulang kali, hingga akhirnya si ibu berasa kecewa lalu berdoa,

“Ya Allah, janganlah Engkau matikan dia sebelum Engkau perlihatkan kepadanya wajah-wajah para pelacur.”

Akhirnya, Juraij benar-benar diuji, dia difitnah telah berzina dengan seorang wanita hingga melahirkan anak. Orang ramai mencacinya, tempat ibadahnya dirobohkan. 

Namun, dengan izin Allah SWT, bayi yang difitnah sebagai anaknya telah berkata dan membersihkan nama Juraij daripada tuduhan palsu tersebut.

Dalam kisah ini, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar tidak meletakkan ibadah sunat mengatasi tanggungjawab kepada ibu sendiri. 

Ini bukan untuk meremehkan nilai ibadah, tetapi untuk memperbetulkan mana yang paling utama. 

Menjaga hubungan dengan ibu bapa adalah suatu kewajipan, manakala solat sunat adalah ibadah yang dituntut tetapi boleh ditangguh jika terdapat keperluan yang lebih besar.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Ingatlah, Ibu adalah insan yang doanya menjadi benteng dan rahmat sepanjang hidup kita. 

Maka tugas kita sebagai anak bukan sekadar memenuhi keperluannya, tetapi menjaga hatinya, mendoakannya sentiasa, menyantuninya, dan tidak sekali-kali meninggikan suara terhadapnya, hatta dalam nada kecewa sekalipun.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’, ayat 23 yang bermaksud:

“…maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan (sebarang perkataan kasar) kepada kedua-duanya sekalipun perkataan ‘hah’, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Begitulah Islam melarang kita mengeluarkan kata-kata buruk walau sekecil ‘hah’ atau ‘ah’ pun kepada ibu dan bapa, apatah lagi meninggikan suara atau menyakiti perasaan mereka. 

Jangan sampai ada dalam kalangan kita yang derhaka. Tanpa belas ihsan sanggup mengabaikan orang-orang tua hanya kerana kesibukan kerja. Wajar untuk kita renungkan bersama.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sungguh hina! Sungguh hina! Sungguh hina! Lalu ditanya: ‘Siapakah (yang hina itu), wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: “laitu orang yang sempat hidup bersama salah seorang daripada ibu bapanya atau kedua-duanya sekali, tetapi dia tidak (mengambil peluang itu untuk) masuk syurga.” (Riwayat Muslim).

Oleh yang demikian, peliharalah hubungan dengan ibu dan bapa, sama ada yang masih hidup ataupun yang telah kembali ke rahmatullah.

Doakanlah mereka, berikanlah khidmat sebaiknya buat mereka, dan jadikanlah kasih mereka sebagai pencetus semangat untuk menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak dan memberi manfaat kepada umat. 

Mudah-mudahan segala amal soleh yang kita lakukan menjadi asbab kebaikan dan terus mengalir sebagai pahala buat mereka, insya-Allah.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita iaitu:

1. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa kedudukan seorang ibu sangat mulia dalam Islam, sehinggakan Rasulullah SAW sendiri meletakkan hak dan layanan terhadap ibu melebihi daripada yang lain.

2. Anak-anak hendaklah menyantuni dan memberi khidmat sebaiknya kepada ibu bapa, kerana ketaatan dan kasih kepada mereka adalah kunci keberkatan hidup serta jalan menuju keredhaan Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah bersyukur kerana dilahirkan dan dibesarkan sebagai Muslim berkat bimbingan dan didikan ibu bapa kita.

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. (Surah Al-Isra’: 24).


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 23 Mei 2025

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan