TINDAKAN licik satu sindiket yang menawarkan rawatan perubatan kepada warga asing tanpa lesen terbongkar apabila klinik haram dikenali sebagai “Doktor Maleeq” diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam kelmarin.
Dalam operasi khas yang dijalankan serentak di tiga lokasi iaitu di Sungai Buloh, Shah Alam dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu, seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai berperanan sebagai doktor palsu berjaya diberkas bersama enam yang lain.
Difahamkan, klinik tersebut yang beroperasi secara haram sejak setahun lalu menawarkan pemeriksaan kesihatan pada harga serendah RM90, dengan majoriti pelanggan terdiri daripada warga asing khususnya dari Myanmar.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, operasi bermula pukul 11.20 malam itu hasil risikan selama dua minggu oleh pasukan dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Antara yang ditahan termasuk tiga wanita warga Myanmar yang dipercayai pembantu klinik, seorang wanita India dan seorang lagi wanita warga Pakistan. Kesemua mereka berusia antara 23 hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki Pakistan itu tinggal lebih masa, manakala salah seorang wanita Myanmar menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Sementara dua lagi warga asing didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah termasuk kad UNHCR.
Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah peralatan klinik seperti buku log pesakit, cop klinik, pasport, alat perubatan, resit, telefon bimbit serta pakaian menyerupai doktor.
“Sindiket ini dipercayai beroperasi waktu malam sahaja, menyasarkan pelanggan yang tidak mampu mendapatkan rawatan di klinik atau hospital sah,” katanya lagi.
Tambah beliau, semua yang ditahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan kini ditahan di Depot Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut.
Seorang lelaki warga Malaysia dan seorang wanita warga Filipina turut dikenakan notis hadir ke pejabat imigresen untuk bantu siasatan.
Jabatan Imigresen memberi amaran akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – Edisi 9

