Thursday, June 4, 2026

Dr Ravigadevi, saintis Malaysia pertama jadi Felo Royal Society

Nama beliau tersenarai dalam Charter Book Royal Society yang turut mengandungi nama-nama seperti Sir Isaac Newton, Charles Darwin, Albert Einstein dan Stephen Hawking.

Mesti Baca

MALAYSIA mencipta sejarah apabila salah seorang saintis terkemuka negara, Dr. S. Ravigadevi menjadi rakyat pertama negara ini yang terpilih sebagai Felo Royal Society, sebuah badan akademik sains paling berprestij dan tertua di dunia yang diasaskan di United Kingdom pada tahun 1660.

Pelantikan rasmi beliau sebagai Felo dijadual berlangsung 11 Julai ini dalam satu majlis bersejarah di London, di mana beliau bakal menurunkan tandatangan pada Charter Book Royal Society, yang turut mengandungi nama-nama besar dalam dunia sains seperti Sir Isaac Newton, Charles Darwin, Albert Einstein dan Stephen Hawking.

Dr. Ravigadevi yang juga Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo The World Academy of Sciences, dikenali dengan sumbangan besar beliau dalam bidang bioteknologi kelapa sawit, termasuk menerajui penyelidikan penyahkodan genom kelapa sawit yang menjadi titik tolak kepada pembangunan industri sawit negara secara mampan dan berimpak tinggi.

Antara kejayaan terbesar beliau ialah penemuan gen SHELL, yang menentukan hasil pengeluaran minyak sawit, dan membolehkan pemilihan pokok berpotensi tinggi melalui ujian DNA yang telah mengubah pendekatan penanaman sawit secara saintifik dan lestari.

Selain itu, beliau turut menemui sebatian bioaktif bernilai tinggi dalam efluen kilang sawit, yang sebelum ini dianggap sebagai sisa pencemar, serta membangunkan kaedah menukarkannya kepada sumber baharu berdaya saing dalam rangka ekonomi kitaran.

Mengulas pengiktirafan tersebut, Dr. Ravigadevi berkata, anugerah tersebut bukan sekadar satu pencapaian peribadi, malah satu penghormatan kepada semua pihak yang telah bersama menjayakan penyelidikan sains di Malaysia.

“Saya amat berbesar hati dan bersyukur dengan pengiktirafan ini. Ia adalah hasil daripada dedikasi dan kerjasama erat rakan penyelidik, khususnya di MPOB. Sains bukan hasil usaha seorang individu semata-mata, tetapi satu usaha kolektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, turut merakamkan ucapan tahniah dan menyifatkan pemilihan Dr. Ravigadevi sebagai detik bersejarah yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, iaitu negara yang memperjuangkan kesejahteraan dan kelestarian menerusi ilmu dan inovasi.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian peribadi buat beliau, tetapi juga satu manifestasi keupayaan Malaysia untuk berdiri setanding dalam lanskap sains global,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Presiden ASM, Academician Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen turut menzahirkan penghargaan atas pencapaian Dr. Ravigadevi yang dilihat sebagai lambang peningkatan sumbangan saintifik negara di pentas antarabangsa.

Royal Society yang berpangkalan di London telah memilih lebih 90 individu sebagai Felo tahun ini dari negara seperti Malaysia, Singapura, China, Switzerland dan Afrika Selatan. Akhbar The Guardian pernah menyifatkan anugerah ini sebagai “setaraf dengan Anugerah Oscar Sepanjang Hayat.”

Pemilihan Dr. Ravigadevi juga dilihat signifikan dari sudut keterlibatan wanita dalam sains, memandangkan Royal Society hanya mula menerima ahli wanita sejak tahun 1945.

Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan negara, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya wanita dan saintis dari negara membangun, untuk terus menyumbang dalam bidang sains dan inovasi. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan