28.3 C
Kuala Lumpur
Monday, September 16, 2024

Dua pelajar Malaysia sertai Program Musim Panas CERN

Mesti Baca

DUA pelajar Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman dan Shim Zi Jun telah terpilih menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) yang sedang berlangsung di Geneva, Switzerland sehingga 25 Ogos ini.

Mereka merupakan antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang diberi peluang istimewa mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).

Nurul Nabiilah, 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Fizik dari Universiti Malaya (UM) dan sedang melanjutkan Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, minatnya terhadap komuniti dan sains telah mendorong semangat kerjasama dan dedikasinya terhadap pembelajaran yang berterusan.

“Saya sangat teruja dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia di CSSP 2024.
Ini adalah peluang yang luar biasa bagi merealisasikan impian saya untuk menjejakkan kaki di makmal fizik zarah terbesar di dunia.

“Peluang sekali seumur hidup ini membolehkan kami menyumbang kepada penyelidikan baharu dan membawa semangat inovatif negara kita ke peringkat global,” katanya dalam kenyataan itu.

150 saintis muda dari seluruh dunia yang menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN di Geneva.

Nurul Nabiilah berkata, dia bercita-cita untuk memberi inspirasi kepada belia di Malaysia dengan memupuk minat mereka dalam sains, terutamanya fizik dan kejuruteraan, seterusnya meningkatkan komuniti saintifik negara.

Zi Jun, 23, yang mahir dalam AutoCAD, Revit, dan program Microsoft Office,
bersemangat untuk menyumbangkan kepakaran kejuruteraannya kepada
CSSP.

Dia merupakan pelajar Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di
University of Nottingham.

Advertisements

“Saya berbangga dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia dalam program
ini. Saya sangat bersyukur kerana ia membantu saya merealisasikan impian
zaman kanak-kanak saya.

“Dengan pendedahan yang tidak ternilai dalam sains, perspektif saya tentang kehidupan telah berubah menjadi lebih baik dan telah membantu saya melangkah keluar dari zon selesa saya.

“Saya berharap dengan berkongsi pengalaman ini, ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar STEM masa hadapan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sejak 2012 MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 25 pelajar termasuk tahun ini ke CSSP.

Beliau berkata, usaha tersebut bagi meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosikan kerjasama antarabangsa.

“CSSP merupakan peluang penting untuk bakat muda tanah air untuk
berkembang, berinovasi, dan memimpin Malaysia ke masa hadapan dengan
kecemerlangan saintifik dan teknologi.

“Dengan melabur usaha dalam pelajar kita, kita sedang mempersiapkan mereka untuk menjadi lebih cemerlang dalam bidang masing-masing dan menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Presiden ASM, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc berkata, pihaknya telah menjalankan proses pencalonan dan pemilihan CSSP di mana 47 calon telah disenarai pendek.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan CSSP telah menjalankan temuduga bagi mengenal pasti calon yang paling cemerlang dan kedua-dua pelajar tersebut telah dipilih. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Antara ekonomi gig, minat belajar dan pendidikan tinggi

Oleh NIK AMALENA NAJEBAH NIK AZMAN PADA masa kini, ekonomi gig telah berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh...

Lagi Artikel Berkaitan