JABATAN Peguam Negara (AGC) membuat keputusan untuk tidak meneruskan dengan pertuduhan terhadap peserta perhimpunan haram di hadapan Menara Kinabalu di Likas, Sabah pada 31 Disember lalu.
Malahan AGC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga tidak meneruskan prosiding ke atas individu-individu yang terlibat.
“Susulan daripada laporan media berkait kes perhimpunan tanpa notis kebenaran di hadapan Menara Kinabalu, Likas, Kota Kinabalu yang diadakan pada 31 Disember 2024, Jabatan ini, setelah membuat pertimbangan yang teliti, memutuskan untuk tidak meneruskan dengan pertuduhan dan memberhentikan prosiding ke atas individu-individu yang terlibat selaras dengan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam kejadian itu, kira-kira 200 peserta perhimpunan Gempur Rasuah Sabah anjuran Suara Mahasiswa berkumpul di hadapan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum berarak kira-kira 3.4 kilometer dan tiba di hadapan Menara Kinabalu pada 3.10 petang.
Pasukan polis menghalang peserta untuk memasuki kawasan hadapan Menara Kinabalu kerana pelbagai acara sempena Karnival Ria yang dianjurkan kerajaan Sabah sedang berlangsung dan peserta dinasihatkan untuk melakukan aktiviti mereka secara aman.
Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian peserta Himpunan Bangkit Sabahan terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pula tiba di kawasan sama yang terlebih dahulu dihalang pihak polis dan dua kumpulan itu dipisahkan hanya dalam jarak kira-kira 100 meter.
Kedua-dua kumpulan itu kemudian masing-masing mengadakan ceramah menggunakan pembesar suara dan menaikkan sepanduk serta bendera, sambil diawasi pasukan polis dengan ketat. – Edisi 9

