PROF Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang keenam bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos ini hingga 31 Julai 2026.
Mohd Zamri, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari University of Sunderland, United Kingdom pada tahun 1995, Ijazah Sarjana dari University of Warwick, pada tahun 1997 dan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti
Kebangsaan Malaysia pada tahun 2006 dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Memulakan perkhidmatan di UMT sejak 1998 sebagai pensyarah muda, beliau terus menaiki tangga kerjaya apabila diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan pentadbiran.
Antaranya Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMT pada tahun 2010; Pengarah Makmal Pusat UMT pada tahun 2012; juga sebagai Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT pada tahun 2019 sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT pada tahun 2020.
“Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UMT dilihat bakal meneruskan agenda pemerkasaan UMT sebagai peneraju utama bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik negara.
“Ini sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi komuniti menerusi Dasar Ekonomi Biru (Blue Economy),” kata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan.
KPT juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor UMT, Datuk Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar atas perkhidmatan dan sumbangan beliau sepanjang menerajui UMT sebelum ini. – Edisi 9

