SYARIKAT-SYARIKAT agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah berjaya mencatatkan keuntungan yang membanggakan dalam tempoh setahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara syarikat yang menunjukkan peningkatan pendapatan yang signifikan berbanding Jun tahun lalu ialah RISDA Estate Sdn Bhd yang telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM7.1 juta.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, turut merekodkan pendapatan memberangsangkan ialah Kolej RISDA Sdn Bhd sebanyak RM1.26 juta; Sinergi Perdana Sdn Bhd (RM6.3 juta); KETENGAH Holding (RM8.66 juta); KETENGAH Perwira Sdn Bhd (RM14 juta) serta PERDA Venture Incorporated RM2.7 juta.
Zahid berkata, penerapan budaya gerak kerja dan pemikiran yang berteraskan tiga elemen penting iaitu profit centre thinking, low cost, high profit, dan cost center to profit center kepada syarikat dan agensi terbabit kini menunjukkan keberhasilannya.
Menurutnya, langkah proaktif, penetapan KPI dan hala tuju yang jelas serta pendekatan Profit Centre Thinking yang dilaksanakan oleh semua syarikat dan agensi KKDW telah menunjukkan beberapa keberhasilan.
Katanya, ini apabila sebahagian besar syarikat-syarikat dan agensi tersebut menunjukkan prestasi yang cemerlang serta mencatatkan rekod keuntungan yang boleh dibanggakan.

“Saya percaya, meskipun banyak anak-anak syarikat ini berupaya mencatatkan keuntungan yang membanggakan, ia tidak sesekali mengorbankan kepentingan awam.
“Sebaliknya prestasi kewangan yang kukuh membolehkan syarikat milikan agensi memenuhi keperluan dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya hari ini.
Sebelum itu Zahid telah menghadiri Majlis Pemukiman KKDW yang dihadiri oleh para pengerusi, ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif syarikat milikan agensi kementerian tersebut.
Beliau berkata, majlis pemukiman itu adalah susulan pertemuan pertama pada 5 Februari lalu bagi melihat pencapaian prestasi syarikat milikan agensi KKDW untuk tempoh separuh tahun pertama tahun ini.
Katanya, peningkatan keuntungan yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat agensi terbabit membawa pulangan besar kepada kerajaan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat khususnya masyarakat desa.
Ogos tahun lalu, Zahid telah mengarahkan mana-mana anak syarikat agensi di bawah kementerian itu yang gagal menjana keuntungan agar ditutup atau digabungkan dengan anak syarikat lain.
Beliau berkata, langkah tersebut merupakan usaha drastik untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan menstruktur semula anak syarikat bawah agensi kementerian. – Edisi 9

