TEATER Pentas Opera karya Zakaria Arrifin berkisar tentang anak-anak wayang pentas bangsawan pada saat akhir zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, yang membawa kepada kembalinya kuasa British.
Mengikutinya, kita berdepan dengan pelbagai peristiwa yang sering berlaku dalam hidup seharian. Ada saat kita gembira,ada waktu duka, ada kisah cinta dan ada cerita kecewa.
Di sebalik itu, drama ini lebih merupakan kisah perjuangan menghadapi survival oleh Kumpulan Seri Nilam Opera untuk meneruskan persembahan ketika zaman gerhana.
Anak-anak wayang itu sendiri, di samping berhasrat untuk meneruskan kesenian bangsawan, harus juga memikirkan tentang periuk nasi dan masa depan mereka.
Sebagai anak Melayu yang hidup di zaman kebangkitan kebangsaan, mereka yang berjiwa patriotik seperti Mohd Nasruddin Syah pula seolah-olah terpanggil untuk turut berjuang bagi mencapai cita-cita ke arah kemerdekaan tanah air.

Pentas opera lalu menjadi medan atau saluran paling mudah bagi mereka meniupkan api nasionalisme dikalangan rakyat.
Begitulah intipati kisah Pentas Opera yang bakal disajikan semula oleh para pelajar Seni Persembahan Diploma Teater Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam.
Persembahan tersebut bakal diarahkan oleh Prof Madya Dr Aminah Rhapor yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Julai ini pukul 3.30 petang dan 8 malam di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam.
Untuk pembelian tiket bagi menyaksikan persembahan teater tersebut, orang ramai boleh menghubungi Athyf Syazwan (011-6286 8604) atau Shah Jahan (018-385 0902). – Edisi 9

