Wednesday, July 22, 2026

Malaysia cadang tujuh tonggak perkasa AI dunia Islam – Zambry

Cadangan dikemukakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali kedua di Tehran, Iran.

Mesti Baca

MALAYSIA mencadangkan tujuh tonggak utama sebagai kerangka kerjasama negara-negara Islam dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi masa hadapan bagi memperkukuh kedudukan ummah dalam era Revolusi Industri 4.0.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali kedua yang berlangsung di Tehran, Iran.

Mesyuarat dua hari itu menghimpunkan lebih 20 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang komited meneroka potensi AI sebagai pemacu kemajuan bersama.

Bertemakan Innovation in Science and Technology through Harnessing Artificial Intelligence: A Strategy for a Brighter Future in the Islamic World, mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Naib Presiden Iran, Mohammad Reza Aref dan dipengerusikan oleh Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Hossein Simayi Saraf.

Dalam kenyataan negara yang disampaikan, Zambry menekankan keperluan dunia Islam untuk mengambil pendekatan proaktif dalam membentuk masa depan teknologi sejagat berlandaskan nilai dan etika Islam.

“Sains dan teknologi pernah menjadi teras ketamadunan Islam. Kini, sudah tiba masanya untuk kita bangkit semula dan menjadi peneraju dalam bidang ini secara kolektif,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Zambry Abd Kadir bersama delegasi negara lain mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian di Tehran.

Tujuh tonggak yang dicadangkan oleh Malaysia itu ialah reka bentuk kurikulum bersama dalam bidang AI, etika data dan kemanusiaan digital; penubuhan hab penyelidikan dan inovasi rentas negara; gerakan celik AI yang inklusif di seluruh negara anggota.

Selain itu, penubuhan Dana Solidariti Digital OIC-15 serta Indeks Kesiapsiagaan Digital OIC; pembentukan Konsortium Keselamatan Siber OIC; penubuhan Unit Foresight OIC-15 bagi merancang masa depan teknologi Islam; dan dana Inovasi Krisis untuk menyokong komuniti terkesan seperti Gaza turut dicadangkan.

Zambry turut berkongsi perkembangan terkini Malaysia melalui Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 yang menumpukan kepada pendidikan berasaskan AI, pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan bakat digital.

Beliau turut memperkenalkan konsep Malaysia MADANI sebagai model transformasi digital negara yang berasaskan keseimbangan, kemanusiaan dan pembangunan menyeluruh.

“Sebagai tanda komitmen, Malaysia turut menawarkan kerjasama dalam bentuk biasiswa, program mobiliti dan program AI Fellowship untuk menyokong pembangunan bakat di kalangan negara anggota OIC-15,” katanya.

Dalam kesempatan tersebut, Zambry turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, bersama para menteri dan wakil negara anggota lain.

Beliau juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Hossein Simayi Saraf untuk membincangkan potensi kerjasama dalam bidang tenaga mahir, sains dan teknologi antara Malaysia dan Iran.

Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali ketiga dijadualkan berlangsung di Arab Saudi, sebagai kesinambungan usaha memperkasa ummah dalam mendepani cabaran teknologi global. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan