SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa hari ini.
MCMC berkata, tindakan itu diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, seksual eksplisi, tidak senonoh jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan melibatkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC.
MCMC berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada kedua-dua pihak pada 3 dan 8 Januari lalu bagi menuntut, antara lain, pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan AI yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Walau bagaimanapun, maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 Januari 2026 dan 9 Januari 2026 hanya memberi tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat AI tersebut,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu mendapati perkara tersebut tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang.
Sehubungan itu, katanya, sekatan tersebut telah dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.
“Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan1dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Bagaimanapun MCMC berkata, pihaknya kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan xAI LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia.
“Orang awam digesa untuk melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia,” katanya. — Edisi 9

