POLIS sedang mengesan satu sindiket penipuan pembelian barangan terpakai menggunakan kaedah ‘phishing’ yang setakat ini menyebabkan kerugian lebih RM243,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket berselindung di sebalik syarikat kitar semula itu menawarkan pembelian barangan terpakai melalui Facebook.
Beliau berkata, melalui iklan tersebut, pihak syarikat kitar semula berkenaan menawarkan pembelian pelbagai barangan terpakai seperti barangan elektrik, gajet, surat khabar, pakaian dan lain-lain.
“Mangsa yang berminat untuk menjual barangan terpakai mereka kemudiannya akan diminta untuk mendaftar di aplikasi yang perlu dimuat turun dan dipasang (install) menggunakan pautan yang akan dihantar melalui whatsapp.
“Setelah aplikasi tersebut dipasang, telefon pintar milik mangsa akan digodam dan seterusnya mengakibatkan kerugian wang ringgit kepada mangsa,” katanya, semalam.
Ramli berkata, sejak Mei lalu sejumlah sembilan laporan polis telah diterima di seluruh negara berkenaan penipuan melibatkan tawaran perkhidmatan kitar semula dengan nilai kerugian keseluruhan RM243,693.50.
Sehubungan itu, sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi yang diterima melalui mesej, emel dan seumpamanya.
“Adalah dinasihatkan, sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hanyalah dilakukan melalui platform yang selamat dan dipercayai seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ramli menegaskan, sebarang bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan.
Katanya, orang ramai tidak perlu ada kegusaran atau pertimbangan kerana tawaran tersebut adalah jelas-jelas sebagai ‘outright cheating’.
Justeru, tambah beliau, PDRM menyokong penuh usaha kerajaan mewujudkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara yang bakal membendung pelbagai isu salah guna teknologi AI.
“Ini adalah masa yang tepat bagi mewujudkan garis panduan sedemikian memandangkan perkembangan teknologi yang sedang berlaku hari ini perlu diseimbangkan dengan tatacara pengawalan serta pengurusan yang jelas agar penyalahgunaan teknologi yang berlaku dapat ditangani dengan sewajarnya,”katanya.
Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara memaklumkan garis panduan tersebut dijangka siap sebelum hujung tahun 2024. – Edisi 9

