PEMBERIAN baucar buku kepada murid dan pelajar institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) disalurkan mulai pukul 2 petang, hari ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pemberian baucar buku itu akan disalurkan menerusi aplikasi DELIMA.
Jelasnya, murid Tahun 4 hingga Tahun 6 akan memperoleh baucar buku bernilai RM50 manakala RM100 kepada pelajar sekolah menengah, penuntut di institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pelajar di institut pendidikan guru Malaysia (IPGM).
Menurut KPM, murid dan pelajar boleh log masuk ke aplikasi DELIMA seterusnya klik ikon Kota Buku Digital.
Setelah mendaftar akaun di Kota Buku Digital, KPM memberitahu, murid dan pelajar akan dipaparkan kredit di akaun masing-masing.
“Murid atau pelajar boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutama daripada Judul Cadangan MADANI.
“Setelah selesai memilih, murid dan pelajar boleh mendaftar keluar dan memilih bayaran kredit e-kedai.
“Buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, KPM turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pemberian baucar buku itu.
Katanya, pengumuman itu jelas mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.
“Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid dan pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat.
“Pemberian baucar buku seperti diumumkan Perdana Menteri adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia MADANI,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 mengumumkan pemberian baucar buku kepada semua pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga peringkat IPT.

