TUNKU Mahkota Ismail menitahkan agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap seorang pegawai pengiring baginda yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing di hadapan sebuah hotel di Kuala Lumpur, Selasa lalu
Pemangku Sultan Johor itu bertitah, baginda tidak menyokong sebarang perbuatan atau tindakan mengugut yang menyalahi undang-undang dilakukan oleh mana-mana pihak.
“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di Hotel St Regis Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.
“Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua pihak menghormati siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda.
Terdahulu, seorang pemandu Grab berusia 46 tahun membuat laporan polis mendakwa ditumbuk di bahagian kepala oleh pengiring seorang kenamaan ketika berada di Hotel St Regis Kuala Lumpur.
Difahamkan, pengadu yang juga orang kurang upaya (OKU) telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami kecederaan pada tisu lembut.
Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik serta pengadu tidak mahu memanjangkan kes. – Edisi 9

