KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pengundi Melayu mula berubah sikap terhadap Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan merampas enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Melayu yang sebelum ini dikuasai pembangkang membuktikan perubahan tersebut.
Beliau berkata, para pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu mula menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman dan agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran untuk meraih undi.
“Malah mereka mula memahami bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbangun atas Titah Tuanku Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

“Insya-Allah, UMNO sebagai salah satu daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui oleh semua.
“Yang penting lanskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya lewat malam tadi.
Dalam PRK Kuala Kubu Baharu semalam menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi.
Beliau yang memperoleh 14,000 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,131 undi serta Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing dengan 152 dan 188 undi.
Asyraf turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera UMNO terutama Bahagian-bahagian Negeri Selangor, jentera Wanita, Pemuda dan Puterinya yang berkampung di semua PDM bagi memastikan kemenangan Sock Tao.
Katanya, tanpa usaha gigih dan kerja kuat mereka serta sokongan daripada jentera UMNO dari negeri-negeri lain sukar bagi mereka merampas enam PDM berkenaan. – Edisi 9

