Thursday, June 4, 2026

Pemegang jawatan dalam UMNO perlu tampilkan idea segar

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

PARA pemegang jawatan dalam UMNO di semua peringkat perlu tampil ke hadapan untuk memberikan idea-idea segar dan bernas, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, UMNO memerlukan mereka untuk membawa parti mengorak langkah, sesuai dengan anjakan politik semasa yang begitu pantas perubahannya.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin UMNO yang telah dipilih akar umbi itu juga perlu melaksanakan sesuatu yang di luar kotak, tiada kotak dan di luar kebiasaan.

“Di era ini, persepsi lebih dipercayai daripada realiti. UMNO mesti menyesuaikan diri dengan persekitaran, mengekang fitnah dahsyat di media sosial

“UMNO mesti menguasai platform media sosial. Cipta sentimen, naratif dan aura positif untuk dekati rakyat.

Majlis bacaan yasin dan doa selamat sempena Ulang Tahun Ke-78 penubuhan UMNO.

“Saya mahu lebih ramai pemimpin UMNO, bermula dari peringkat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) sehingga ke Bahagian, ADUN dan Ahli Parlimen mula teroka ‘dunia baharu’ dan tidak lagi berada di takuk cara yang lama,” katanya sempena Ulang Tahun UMNO Ke-78 hari ini.

Zahid berkata, 78 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat tetapi menyaksikan tiga generasi telah menggalas amanah membawa obor UMNO yang telah menerangi kehidupan setiap daripada rakyat negara ini.

Beliau berkata, berpendidikan anak bangsa hari ini adalah kerana ikhtiar UMNO dan membangunnya Malaysia seperti yang dinikmati sekarang, adalah usaha UMNO.

Malahan kata beliau, sejahteranya hidup rakyat sejak Malaysia merdeka juga kerana upaya yang dijalankan oleh UMNO.

“Di awal penubuhannya, UMNO memperjuangkan hak-hak orang Melayu terutama dalam konteks kemerdekaan negara dan keadilan sosioekonomi.

UMNO telah mendapat banyak nikmat, dan nikmat ini juga dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Para wanita UMNO turut sama dalam majlis bacaan yasin dan doa selamat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadii.

“Sebagai pemegang tampuk kuasa dominan dalam politik tanahair, UMNO terus memacu negara sehingga muncul sebagai antara negara membangun paling dihormati,” katanya.

Namun, jelas beliau, berjuang untuk mendapatkan sesuatu itu sukar tetapi mempertahankan kejayaan jauh lebih getir.

Zahid berkata, beliau mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO ketika parti ini berdepan liku-liku yang tidak pernah dibayangkan.

“Kekalahan kita pada PRU Ke-14 menyaksikan buat kali pertama sebagai seorang Presiden, saya menerajui parti sebagai pembangkang.

“Namun, ini tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk terus mengangkat kembali wadah parti yang selama ini, dipertahankan dengan penuh kecekalan oleh kalangan akar umbi,” kata beliau.

Sebagai Presiden UMNO kelapan, beliau menan tekad dan sumpah bahawa parti keramat itu tidak sesekali tenggelam dalam lipatan sejarah.

“Saya tidak akan putus harap dan akan terus mengikhtiarkan agar parti keramat ini akan tetap menjadi parti yang didambakan rakyat,” tambah beliau.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sejak PRU15, satu perkara yang patut disyukuri dan penghormatan harus diberikan kepada akar umbi parti apabila tiada satu pun cawangan UMNO dibubar atau terkubur.

Beliau berkata, walaupun ada yang lari apabila diuji dengan kekalahan, ada yang khianat bila diugut lawan ada ada yang rambang mata kerana ditawar jawatan namun UMNO tetap utuh.

“Di belakang MKT pula ada pemimpin di peringkat Bahagian, Sayap dan Cawangan yang ditolak tak rebah, yang jatuh bingkas bangun semula. Di belakang pimpinan itu ada akar umbi yang teguh setia.

“Selagi saya di sini, akan saya pastikan perjuangan UMNO tidak sedikit pun tersasar. Saya akan pastikan UMNO ini ‘direbus tak empuk, direndam tak basah’,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan