26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Pahang wartakan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu

Hutan Taman Negeri Lubuk Yu juga turut diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sebagaimana keperluan di bawah perenggan 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara (APN) 1984

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Negeri Pahang telah bersetuju untuk mewartakan sebahagian Hutan Simpan Berkelah, Mukim Chenor, Daerah Maran sebagai Hutan Taman Negeri Lubuk Yu.

Hutan Taman Negeri Lubuk Yu seluas 14,679.28 hektar itu merupakan Hutan Taman Negeri keempat bagi Negeri Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ini diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang telah bermesyuarat pada Rabu lalu.

“Hutan Taman Negeri Lubuk Yu juga turut diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sebagaimana keperluan di bawah perenggan 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara (APN) 1984,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Hutan Taman Negeri ini diletakkan di bawah Perbadanan Taman Negeri Pahang dan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

“Malah, ia juga akan mewujudkan zon penampan Taman Negeri selebar 1.5 kilometer.

Advertisements

Selain itu, katanya, menerusi pewartaan ini, kelulusan pembalakan di kawasan tersebut juga telah pun dibatalkan.

“Oleh itu, saya berharap kita berupaya untuk terus melindungi habitat flora dan fauna yang berharga di Hutan Taman Negeri selain menjadikannya lokasi pelancongan eko-rimba yang menarik dan unik,”katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Pahang terdahulunya telah menubuhkan Taman Negeri Cameron Highlands pada 2019 yang berkeluasan 2,270 hektar.

Diikuti dengan penubuhan Taman Negeri Rompin dengan keluasan 31,797 hektar pada tahun 2000 dan Hutan Taman Negeri Tasik Chini pada tahun 2022 dengan keluasan 6,502.80 hektar.

Melalui penubuhan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu yang baharu ini, Negeri Pahang kini mempunyai Hutan Taman Negeri yang berstatus Hutan Simpanan Kekal seluas 55,249.08 hektar.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lakukan ‘total cleansing’ kumpulan ajaran sesat, ekstrem agama

PIHAK berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa melakukan total cleansing (sapu bersih) terhadap kumpulan ajaran sesat dan...

Lagi Artikel Berkaitan