33.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Salmah mengundi kali ke-13 meskipun berkerusi roda

Mesti Baca

SEORANG warga emas tidak melupakan tanggungjawabnya untuk memilih wakil rakyat bagi kali ke-13, meskipun terpaksa hadir berkerusi roda ketika pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Sekolah Agama Tun Dr Ismail, Muar, Johor.

Salmah Amir, 69, turut dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah warga emas yang pertama hadir dan antara 10 pengundi terawal di pusat pengundian terbabit.

Dia yang tinggal di Batu 1, Bakri hadir mengundi dengan ditemani anak perempuannya yang berusia 30 tahun.

“Saya sudah mengundi sejak umur 24 tahun lagi. Kali ini sudah kali ke-13 termasuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor yang lalu. Saya datang awal kerana tidak mahu bersesak.

“Hari ini saya datang awal jam 7.30 pagi bersama anak. Alhamdulillah, saya telah menunaikan tanggungjawab saya sebagai warganegara Malaysia untuk memilih pemimpin di kawasan ini,” katanya ketika ditemui.

Rakan karibnya, Yap Chin Yuen dan Yeo Jia Hui masing-masing berusia 28 tahun pula berkata, mereka teruja kerana menjadi dua pengundi paling awal di sekolah itu.

“Kami lega dapat menunaikan tanggungjawab dengan lancar dan berharap semua dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih pemimpin di kawasan mereka,” kata Chin Yuen yang tiba bersama Jia Hui pada 7.20 pagi.

Advertisements

Sekolah Agama Tun Dr Ismail, adalah pusat pengundian yang memiliki pengundi teramai bagi DUN Simpang Jeram melibatkan 5,571 orang pemilih.

Di Johor Bahru, warga emas, Md Amin Anis, 68, menjadi antara pengundi terawal di Sekolah Agama Bandar, di sini.

Meskipun bertongkat, dia tetap bersemangat bersama isterinya, Rosmani Ab Ghani, 65, menunaikan tanggungjawabnya mengundi untuk PRK Parlimen Pulai.

“Saya tak pernah lupa untuk mengundi meskipun bertongkat, malah empat tahun lalu saya datang mengundi dengan berkerusi roda kerana paha dan punggung patah akibat kemalangan jalan raya.

“Untuk memilih kali ini tidaklah susah meskipun senario politik sudah berbeza.

“Saya banyakkan membaca, mengkaji dan bulatkan hati untuk memilih calon yang saya yakin pilihan terbaik untuk masa depan rakyat dan negara,” kata bapa kepada tujuh anak itu. -Bernama

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan