Saturday, June 13, 2026

Pahang salur RM25,000 bawa pulang jenazah Muhammad Izzat

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Negeri Pahang menyalurkan sumbangan sebanyak RM25,000 bagi membawa pulang jenazah mangsa pemerdagangan manusia, Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28 yang meninggal dunia dalam tahanan imigresen di Myanmar.

Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat hari ini bersetuju membantu membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kuantan.

Katanya, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Izzat.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa arwah.

“Saya berharap keluarga Allahyarham dapat bersabar atas dugaan berat yang sedang dihadapi ini dan marilah kita berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Izzat dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu selepas menjadi mangsa kes pemerdagangan manusia.

Sementara itu, Wan Rosdy turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada agar tidak diperdaya oleh sindiket pemerdagangan manusia.

“Saya juga berharap agar orang ramai lebih berhati-hati ketika menerima sebarang tawaran bekerja di luar negara dan pastikan kesahihannya terlebih dahulu bagi mengelak menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan