Tuesday, June 16, 2026

Dua tokoh kanan Pas dilantik speaker DUN Kelantan dan senator

Mesti Baca

DUA tokoh kanan Pas diberikan peranan berbeza sama ada di peringkat Kelantan atau kebangsaan hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, manakala bekas ketua Pemuda Pas Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, kini menjadi senator.

Nama Mohd Amar dicadangkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan disokong timbalannya Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan.

Pelantikan Mohd Amar yang juga Adun Panchor itu dibuat bagi menggantikan posisi ditinggalkan pendahulunya Datuk Abdullah Yaakub.

Terdahulu Setiausaha DUN Kelantan Mohd Zaika Yamani Ibrahim menerima cadangan tunggal dikemukan melalui Mohd Nassuruddin (PN-Meranti) yang mencadangkan nama speaker DUN.

DUN Kelantan juga menerima surat kesanggupan menggalas tanggungjawab daripada Mohd Amar yang kemudian mengangkat sumpah jawatan dalam persidangan yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu sidang hari ini juga bersetuju memilih Nik Abduh sebagai ahli Dewan Negara mewakili Kelantan.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Senator Mohd Apandi Mohamad yang menamatkan tempoh perkhidmatannya.

Cadangan pencalonan Nik Abduh juga dikemukakan Mohd Nassuruddin selepas Mohd Amar mengumumkan waktu untuk usul pemilihan ahli Dewan Negara.

Cadangan Mohd Nassuruddin sekali lagi disokong Mohd Fadzli sebelum dipersetujui sebulat suara Adun Kelantan.

Untuk rekod Nik Abduh adalah anak kepada bekas menteri besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pernah menjawat jawatan sebagai ahli Parlimen selama dua penggal iaitu di Parlimen Pasir Mas dan Bachok.

Pada PRU ke-15 lalu, nama Nik Abduh tidak disenaraikan sebagai calon.

DUN Kelantan bersidang kali pertama selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) ke-15 baru-baru ini. Kelantan kekal di bawah pentadbiran Pas apabila parti itu bersama PN berjaya meraih kemenangan di 43 daripada 45 kerusi.

Mohd Amar berkata, dia menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjadi speaker DUN Kelantan.

Kata naib presiden Pas itu, pemilihan berkenaan adalah penghormatan yang tinggi kepada dirinya.

“Saya berjanji akan menjalankan tugas dengan baik dan mudah-mudahan akan mendapat kerjasama yang baik daripada Adun sekalian,” kata Mohd Amar selepas mengangkat sumpah jawatan. -Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan