JABATAN Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menjalinkan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa terutama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan Belgorod State Technological University (BSTU), Rusia.
Majlis menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) telah berlangsung sempena Mesyuarat Keempat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC ESTC) di Langkawi, Kedah pada Selasa.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah, perjanjian dengan BSTU itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan strategik antarabangsa khususnya dalam bidang TVET.
“Melalui LoI ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalin kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran pelajar, tenaga akademik dan pakar teknikal, pelaksanaan penyelidikan serta latihan bersama.
“(Selain) perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran, serta pembangunan program akademik dan kurikulum yang selaras dengan keperluan industri dan teknologi semasa,” katanya dalam kenyataan.
Pada majlis tersebut, Shamsuri menandatangani bagi pihak JPPKK manakala BSTU diwakili oleh Rektornya, Prof. Sergey Nikolaevich Glagolev serta disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, Valery Falkov.
Shamsuri berkata, kerjasama itu juga turut membuka ruang kepada inisiatif lain yang dipersetujui bersama bagi memperkukuh kecemerlangan pendidikan dan hubungan dua hala antara JPPKK dan BSTU.
“LoI ini menjadi rangka kerja penting untuk memupuk kerjasama yang tulen, berterusan dan saling menguntungkan antara JPPKK dan BSTU,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 34 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan LoI telah dimeterai sempena mesyuarat JC ESTC itu yang melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta politeknik.
Turut serta agensi kerajaan dan swasta dengan rakan strategik dari Persekutuan Rusia dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi, teknologi baharu, tenaga, pertanian, serta pembangunan modal insan. – Edisi 9

