HOSPITAL Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang kini dalam proses pembinaan dijangka siap sepenuhnya Disember tahun depan dan akan beroperasi mulai Januari 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, HUMS itu bakal dilengkapi dengan kapasiti 400 katil, 25 bilik pembedahan, 40 katil rawatan intensif dan 145 buah klinik pakar.
Beliau berkata, hospital itu juga berkonsepkan hospital pintar dan keseluruhan operasinya menggunakan sistem digital maklumat hospital lengkap.
“Dengan beroperasinya HUMS ini, ia bakal mempertingkatkan mutu pendidikan dan latihan perubatan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi untuk masyarakat setempat dan meningkatkan fiskal pendapatan serta ekonomi rakyat khususnya dalam sektor pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Zambry melakukan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk melihat perkembangan semasa projek pembinaan hospital tersebut.
Taklimat terkini kemajuan projek HUMS telah disampaikan oleh Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh bersama wakil syarikat konsesi yang dilantik.
Beliau berkata, HUMS akan menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar perubatan dan kejururawatan; menjalankan penyelidikan perubatan dan sains kesihatan; serta menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada orang awam.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan HUMS termasuklah khidmat rundingan dan rawatan doktor pakar, kecemasan dan trauma selama 24 jam.
Selain itu, HUMS juga dilengkap dengan dua angiogram suite, Magnetic Resonance Imaging (MRI), Computed Tomography (CT-scan), was isolasi komprehensif dengan 10 katil, rawatan pesakit harian 58 katil dan hemodialisis 40 kerusi rawatan.
Sebelum ini, media melaporkan hospital pengajar yang dibina dengan kos berjumlah RM652 juta itu dijangka siap tahun ini. – Edisi 9