PELAJAR tidak sewajarnya dijadikan sebagai ‘tikus ujikaji’ yang boleh diperlakukan sesuka hati dalam merangka dasar dan acuan pendidikan negara.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sistem pendidikan sepatutnya terus dikekalkan tanpa mengira siapa pun menjadi menterinya.
“Kalau nak ubah dari segi rangka perlaksanaan atau menambah baik dan memperkemaskan aspek perlaksanaan, itu OK.
“Tapi kalau hanya nak tunjukkan kehebatan ‘bapak’ menteri kerana lulusan luar negara atau hanya berdasarkan lawatan kerja satu dua negara tanpa melihat kesan menyeluruh dan keupayaan secara holistik, akan hanya membawa kepada kesan negatif kepada rakyat dan negara,” katanya hari ini.
Beliau mengulas cadangan untuk mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan sejak 2022 lalu.
Asyraf Wajdi berkata, Kementerian Pendidikan boleh memanggil tokoh-tokoh pendidik dalam kalangan guru, universiti pendidikan serta buat kajian menyeluruh mengenainya.
Katanya, ini termasuk aspek kurikulum dan silibus yang dilihat terlalu berat serta banyak untuk pelajar di peringkat rendah.
“Saya pernah bagi komen dulu contohnya dalam subjek Matematik, apabila saya melihat anak saya sendiri bertanya satu soalan mengenai Takaful iaitu salah satu topik di bawah Pengurusan Kewangan.
“Bagi saya ini berat, kerana waktu saya jadi Pensyarah di UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dulupun bukan mudah nak fahamkan pelajar universiti mengenai subjek ini. Inikan pula pelajar peringkat sekolah rendah.
“Pendapat peribadi saya topik seperti ini tak sesuai untuk diajar di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Mengenai cadangan tersebut, beliau amat bersetuju kerana sistem pendidikan negara perlu mempunyai sistem penilaian yang berpusat dan terlaras agar dapat mengukur keupayaan sebenar pelajar sebelum ke peringkat menengah.
Beliau mengambil contoh pengalaman di MARA, yang mana apabila UPSR dimansuhkan, berlaku penurunan drastik pencapaian Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) terutama bagi pelajar-qpelajar luar bandar dan yang berpendapatan rendah.
“Sebab itulah apabila saya diamanahkan menjadi Pengerusi MARA, saya cuba melakukan intervensi membantu dengan mengadakan bengkel-bengkel khas dan tuisyen percuma kepada pelajar luar bandar melalui Yayasan Pelajaran MARA bagi memastikan pelajar miskin dan daif luar bandar juga berupaya menjawab UKKM dengan baik dan berjaya masuk ke MRSM,” katanya menjawab komen-komen menerusi Facebooknya.
Asyraf Wajdi juga yakin pendapatnya itu seiring dengan guru-guru dan mereka yang terlibat secara langsung dengan sistem pendidikan negara.
Beliau juga percaya, pandangan guru-guru, ibu bapa dan orang ramai itu akan mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan. – Edisi 9