BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyokong cadangan agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan sekolah.
Ini kerana, menurut beliau, kedua-dua peperiksaan tersebut sebelum ini telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.
“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ianya menjadi salah satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.
“Jadi saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan itu kerana ianya telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar sistem pendidikan bagi Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah dirombak.
Kenyataan beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dibuat semasa merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Mahdzir berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.
Pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kata Mahdzir, juga telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.
Justeru jelasnya, saranan oleh Ahmad Zahid itu perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3М).
“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.
“Kaedah pentaksiran tersebut juga saya fikir telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas,” jelas beliau yang menjawat Menteri Pendidikan pada 2015 hingga 2018.
Selain itu tambah Mahdzir, ada kedengaran suara-suara daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang telah menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Saya juga melihat dari sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid Tahun 6 di sekolah rendah dan pelajar di Tingkatan 3 agak berkurangan apabila tidak ada peperiksaan khas seperti UPSR dan PT3 dahulu di mana murid dan pelajar berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaaan.
“Begitu juga di peringkat ibu bapa yang bersemangat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menerusi peperiksaan tersebut dengan memberi lebih perhatian kepada pembelajaran anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan,” kata Mahdzir.
Untuk rekod, UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
Manakala PT3 pula mula dilaksanakan pada tahun 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). – Edisi 9