26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Elak murid jadi tikus makmal, UPSR, PT3 kekal mansuh – Fadhlina

Mesti Baca

PEMANSUHAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) buat masa sekarang dikekalkan bagi mengelak para murid menjadi tikus makmal, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, keputusan mengembalikan kedua-dua peperiksaan itu perlu dibuat secara holistik dan tidak boleh dilihat dari satu aspek sahaja.

“Anak-anak kita bukan tikus makmal, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada. Kita kena ada ketetapan dan kita telah buat pelbagai penegasan khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan untuk guru bagi memastikan tiada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan mereka (murid),” katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya hari ini.

Fadhlina berkata, KPM kini menumpukan pada pendekatan baharu kurikukum persekolahan 2027 dan dalam proses merangka pelan pembangunan pendidikan baharu bagi menetapkan hala tuju pendidikan negara untuk tempoh 10 tahun bermula 2026.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar sistem pendidikan bagi Tahun Enam di sekolah rendah dan Tingkatan Tiga di sekolah menengah dirombak.

Kenyataan beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dibuat semasa merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Advertisements

Ekoran itu, pelbagai pihak mencadangkan agar peperiksaan UPSR dan PT3 yang dimansuhkan pada 2022 itu dikembalikan atas alasan ia membantu aspek kemenjadian murid.

Selain itu, ketiadaan peperiksaan tersebut didakwa telah menyumbang kepada keciciran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara yang memberi pandangan termasuk bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menganggap pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.

Pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kata Mahdzir, juga telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, potensi atau kebolehan sebenar seseorang pelajar sukar dinilai tanpa penilaian berpusat seperti UPSR.

Katanya, pemansuhan peperiksaan tersebut turut memberi impak kepada proses pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Sebelum ini, Fadhlina dan KPM sudah beberapa kali menegaskan UPSR dan PT3 tidak akan dikembalikan biarpun mendapat desakan daripada pelbagai pihak termasuk guru, ibu bapa dan pakar-pakar pendidikan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan