23.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

GISBH: Penguasa agama jangan hanya serah kepada PDRM

Mesti Baca

JABATAN agama Islam seluruh negara digesa bertindak tegas secara bersama berhubung isu Global Ikhwan Service & Business Holdings (GISBH) dan tidak hanya berpeluk tubuh sambil menyerah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata.

Pakar perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, ini kerana isu akidah umat Islam dan hal berkaitan dengannya terutama menjaga nama baik Islam secara umum perlu kekal di bawah tanggungjawab pihak berkuasa agama.

“Jangan lepas tangan kepada PDRM semata-mata. Buat apa kita ada penguasa agama kalau semuanya mahu diserahkan amanah dan tanggungjawab berkenaan akidah atau hal berkaitannya kepada PDRM atau pihak berkuasa lain,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau tidak menafikan kuasa yang dimiliki oleh pihak polis namun apa yang dipersoalkan ialah di mana rasa tanggungjawab penguasa agama turut mempunyai amanah yang digalas.

Shamrahayu berkata, usaha menangani permasalahan tersebut perlu diselaraskan dan tidak perlu timbul menyerahkan perkara berkenaan hanya kepada pihak PDRM.

“Bukankah kita selalu bercakap tentang ta’aawun ala al-birr iaitu bekerjasama dalam perkara yang baik.

“Undang-undang tidak melarang untuk pihak berkuasa agama meneruskan tanggungjawab melaksanakan hal berkaitan ini walaupun PDRM yang mengepalai semua tindakan yang melibatkan GISBH ini terutamanya dalam hal ehwal keselamatan negara.

“Pihak yang menggalas amanah menjaga akidah dan nama baik Islam jangan berpeluk tubuh dan berasa senang dengan keadaan apabila pihak polis telah mengambil tindakan menurut apa jua prosedur undang-undang.

Advertisements

“Saya fikir tindakan lebih tegas perlu dibuat oleh Jabatan Agama Islam seluruh negara. Bersepadulah semua! Buatlah tindakan sewajarnya dengan harapan Islam ini dapat dibela melalui undang-undang dan juga tindakan.

“Satu lagi, mesti lebih pantas! Jangan nampak kita ni leweh!,” kata beliau.

Mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu tersebut, Shamrahayu berkata, pernyataan yang boleh dilaksanakan melalui undang-undang seperti fatwa perlu disegerakan.

Katanya, penyataan pandangan hukum syarak juga perlu dibuat dengan tegas.

“Secara peribadi, saya sangat teruja mendengar berita MKI – Majlis Kebangsaaan Hal Ehwal Agama Islam – yang akan berbincang mengenai GISBH ini.

“Pengharapan saya agar MKI dapat mencadangkan tindakan wajar dan menyeluruh, mengeluarkan penggubalan garis panduan serta maqasid tertentu untuk menyelesaikan perkara ini.

“Kita sudah mengerti masalah, dan pada ketika ini kita amat perlukan tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini secara praktikal agar akidah umat Islam terjaga, dan sekali gus menyelamatkan nama Islam,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan