Monday, July 20, 2026

Fatwa perlu ‘sighah’ jelas elak terus diperlekeh di mahkamah

Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam dicadang mengarahkan semua fatwa di peringkat negeri disemak semula bagi mengelakkan risiko disaman atau dibawa ke mahkamah - Shamrahayu

Mesti Baca

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan hari ini yang membenarkan permohonan pertubuhan SIS Forum bagi membatalkan pemakaian satu fatwa terhadapnya, disifatkan sebagai satu isyarat jelas bahawa penzahiran lafaz atau sighah sesuatu fatwa perlu diteliti dengan lebih mendalam agar ia benar-benar berkuat kuasa sebagai undang-undang.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, walaupun Mahkamah tidak membatalkan keseluruhan fatwa tersebut, namun implikasinya cukup besar terhadap keutuhan institusi pengeluaran fatwa di negara ini.

“Saya ingin tegaskan, ini bukan kali pertama institusi ini ‘kalah’ di mahkamah kerana masalah sighah. Kita pernah lihat kes serupa sebelum ini seperti dalam kes Allahyarham Kassim Ahmad di Kuala Lumpur,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Shamrahayu menjelaskan, apabila sesuatu fatwa mahu dijadikan undang-undang, ia secara automatik tertakluk kepada tafsiran dan semakan kehakiman. 

Oleh itu, tambah beliau, sebarang kekaburan daripada segi lafaz boleh membuka ruang kepada cabaran di mahkamah.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, pihak berautoriti dalam hal ehwal fatwa perlu segera meneliti dua perkara utama sebagai langkah ke hadapan.

Katanya, perlu ada satu mekanisme yang jelas bagi menentukan bentuk dan sighah fatwa sebelum ia diwartakan, termasuk mengambil kira pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Sesetengah negeri sudah pun melaksanakan amalan ini, namun ada juga negeri yang belum ada prosedur jelas,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam memainkan peranan lebih tegas dengan mengarahkan semua fatwa di peringkat negeri disemak semula bagi mengelakkan risiko disaman atau dibawa ke mahkamah.

Menurut beliau, masih terdapat persoalan berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut, khususnya mengenai kenapa fatwa tidak boleh terpakai ke atas artificial persons atau entiti bukan individu seperti pertubuhan. 

Katanya, penjelasan lebih terperinci dijangka akan dikupas dalam alasan penghakiman oleh pihak majoriti Mahkamah Persekutuan nanti.

Hari ini Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat adalah sah, namun hanya terpakai terhadap individu yang menganut agama Islam dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum (Malaysia).

Keputusan itu dibuat panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Tan Sri Abdul Karim Abdul Jalil.

Menurut Tengku Maimun, tafsiran frasa ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada manusia sebenar (natural persons), dan bukannya syarikat, pertubuhan atau entiti buatan. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan