Monday, July 20, 2026

Kesemua 560 kanak-kanak GISBH masih di bawah jagaan JKM

Mesti Baca

KESEMUA 560 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah-rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service & Business Holdings (GISBH) masih berada di bawah jagaan dan perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, mereka belum boleh diserahkan kepada keluarga atau waris masing-masing kerana masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Kementerian itu berkata, matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah kembali ke pangkuan keluarga. 

“Namun, sebelum perkara tersebut dapat dilaksanakan, pelbagai aspek perlu dinilai dan dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat,” kata KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas kes yang telah tular di media sosial berkenaan satu rakaman pertemuan Pelindung Kanak-Kanak dengan ibu bapa kanak-kanak GISBH pada 9 Oktober lalu.

Kenyataan itu berkata, KPWKM memandang serius kes tersebut dan pihak JKM sedang melakukan siasatan dalaman terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Mengenai penglibatan KPWKM dalam Op Global pada 11 September lalu, kenyataan itu berkata, seramai 884 pegawai JKM telah terlibat.

“Dalam operasi ini, JKM bertindak mengikut punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak (Akta 611), iaitu pelantikan dan kuasa Pelindung, serta Seksyen 17(1)(d) yang menetapkan keperluan perlindungan kanak-kanak. 

“Selain itu, tindakan juga diambil berdasarkan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan mengenai pelantikan dan kuasa Pegawai Diberi Kuasa,” katanya.

Kementerian itu berkata, peranan JKM dalam Op Global adalah menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak bersama Polis Diraja Malaysia.

Selain itu, mereka juga bertindak menguruskan penempatan sementara bagi kanak-kanak, mendaftar maklumat, mendapatkan perintah jagaan sementara dan menguruskan kemasukan kanak-kanak ke tempat selamat. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan