PASANGAN beregu lelaki dan wanita negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M.Thinaah meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir kejohanan badminton Terbuka Denmark di Odense, awal pagi ini.
Aaron-Wooi Yik yang dalam misi mempertahankan kejuaraan tersebut menyingkirkan rakan senegara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee 21-23, 21-17, 21-16 di peringkat pusingan 16.
Beregu lelaki utama negara itu kembali ke gelanggang pada Terbuka Artik minggu lalu setelah terpaksa melupakan beberapa siri Jelajah Dunia ekoran kecederaan yang dialami Wooi Yik pada Sukan Olimpik Paris lalu.
Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu terkandas di pusingan pertama di Finland yang menyaksikan satu lagi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Ramsani muncul juara.
Di peringkat suku akhir, Aaron-Wooi Yik akan bertemu beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang menyingkirkan beregu tuan rumah, Rasmus Espersen-Christian Faust Kjaer 21-18. 14-21, 21-16.
Sementara itu, harapan menyaksikan satu lagi beregu lelaki negara Junaidi Arif-Roy King Yap mencipta kejutan ke atas pasangan tuan rumah, Kim Astrup-Anders Rasmussen tidak kesampaian apabila tunduk kepada beregu no. 2 dunia itu 14-21, 7-21.
Dalam pada itu, Pearly-Thinaah pula berhempas pulas sebelum menewaskan pasangan Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 20-22, 21-18, 21-16.
Di peringkat suku akhir, naib juara Terbuka Artik minggu lalu itu sekali lagi dicabar pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang menundukkan pasangan China-Taipei, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui 21-9, 21-12.
Rekod pertemuan Pearly-Thinaah dengan Iwanaga-Nakanishi berpihak kepada pasangan negara dengan 4-1, termasuk menewaskannya di separuh akhir Terbuka Artik sebelum ini. – Edisi 9