SEMPENA sambutan Hari Kesihatan Seksual Sedunia, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan Reproduktif pada 19 September lalu.
Program anjuran Klinik UM itu disertai lebih 500 pelajar yang melibatkan pebagai aktiviti sepanjang program termasuk ceramah kesihatan, pameran interaktif, sesi konsultasi peribadi dan pemeriksaan kesihatan.
Pengarah Klinik UM, Dr. Zuraidah Mohamed berkata, kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan reproduktif boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit seksual seperti HIV/AIDS serta jangkitan kelamin lain.
Beliau berkata, ia juga membantu mencapai Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) 3.3, yang bertujuan menamatkan wabak HIV dan mengawal penyakit berjangkit lain seperti hepatitis dan malaria.
“Program kesedaran ini menyediakan maklumat penting tentang pelbagai aspek kesihatan seksual dan reproduktif seperti perancangan keluarga, pendidikan seks, serta pencegahan penyakit kelamin.

“Dengan adanya program seperti ini, lebih ramai individu akan berupaya membuat keputusan yang lebih baik berkaitan dengan kesihatan mereka,” katanya.
Selain Klinik UM, turut menjayakan program tersebut ialah pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains UM, Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai dan Pusat Pembangunan Lestari UM (UMSDC).
Hari Kesihatan Seksual Sedunia disambut setiap tahun dengan matlamat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif di kalangan masyarakat.

Sementara itu, Pemangku Pendaftar UM, Prof Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman berkata, Program Kesedaran Kesihatan Reproduktif itu menjadi komponen penting dalam usaha membentuk masyarakat kampus yang lebih sihat, seimbang dan berpengetahuan, yang seterusnya menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan global.
“Saya yakin bahawa program ini memberikan pendidikan dan kesedaran yang luas kepada warga kampus serta komuniti setempat.
“Malah, ia memberi impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan, serta selari dengan hala tuju Universiti Malaya dalam mencapai SDG 3,” katanya. – Edisi 9

