Thursday, June 18, 2026

Iklan ‘scam’, judi: Meta lakukan pelanggaran serius – MCMC

Sehingga 4 November 2025, MCMC telah mengemukakan kepada Meta sebanyak 157,208 permintaan untuk menurunkan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian...

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil pihak Meta berhubung laporan media bahawa syarikat itu meraih keuntungan hasil daripada iklan berkaitan penipuan, perjudian dalam talian, dan aktiviti haram.

Menurut MCMC, langkah itu bagi mendapatkan penjelasan rasmi pengendali media sosial Facebook dan Instagram berhubung pendedahan agensi berita antarabangsa, Reuters.

“MCMC berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dan akan memanggil pihak Meta untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung ketepatan pendedahan tersebut,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, MCMC menegaskan, pihaknya akan memulakan siasatan terhadap perkara itu dan sekiranya terbukti benar, Meta dianggap melakukan pelanggaran serius terharap kepercayaan awam dan undang-undang negara.

Katanya, sebelum laporan berita itu diterbitkan, MCMC telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama, termasuk Meta, berhubung isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.

“Dalam sesi tersebut, MCMC menekankan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan amat tinggi yang perlu dikemukakan kepada Meta berbanding platform lain,” katanya.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, MCMC telah mengemukakan kepada Meta sebanyak 157,208 permintaan untuk menurunkan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.

Jumlah itu, katanya, jauh lebih tinggi berbanding platform lain. 

Dalam tempoh yang sama, permintaan penurunan iklan perjudian dalam talian dikemukakan kepada TikTok (3,956), Telegram (269), X (dahulunya Twitter) (11), dan YouTube sebanyak 45,448.

“MCMC sebelum ini telah menasihati Meta agar mengambil pendekatan lebih proaktif dalam membanteras aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian.

“(Ini) memandangkan langkah sedia ada masih belum mencukupi dan aktiviti sebegini terus memberi kesan negatif kepada masyarakat,” tegas MCMC.

Sementara itu, bagi  memastikan keselamatan dalam talian lebih berkesan, MCMC menegaskan, semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah, dan bertanggungjawab membuktikan sistem serta langkah-langkah untuk mencegah aktiviti haram.

Platform-platform berkenaan juga disaran melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana platform telah sengaja membantu atau bersubahat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang negara,” katanya. 

Kelmarin, Reuters melaporkan Meta Platforms Inc. didakwa memperoleh kira-kira 10 peratus daripada jumlah hasilnya pada tahun 2024 atau bersamaan kira-kira AS$16 bilion (RM67 bilion) daripada iklan dalam talian yang mempromosikan penipuan dan barangan larangan.

Laporan berdasarkan dokumen dalaman syarikat itu menyatakan, iklan tersebut merangkumi promosi bagi skim e-dagang dan pelaburan palsu, kasino dalam talian haram serta penjualan produk perubatan yang diharamkan. 

Reuters mendakwa, dokumen tersebut turut menunjukkan usaha Meta sendiri untuk mengukur sejauh mana penyebaran iklan penipuan di platformnya seperti Facebook dan Instagram. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan