PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat diumum sebagai Pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berkuat kuasa mulai 1 November lalu.
Pengumuman tersebut dibuat agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu menerusi media sosialnya hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi selepas tempoh perkhidmatan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berakhir Mei lalu.
Menurut Ketengah, pelantikan itu akan terus memperkukuh peranan serta hala tuju strategik agensi itu dalam memacu kemajuan sosioekonomi dan pembangunan mampan di wilayah Terengganu Tengah.
“Dengan pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta komitmen tinggi yang dimiliki oleh Rozi, Ketengah yakin pelantikan ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang selari dengan agenda pembangunan negara dan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Difahamkan majlis penyerahan watikah pelantikan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Rozi berlangsung beberapa hari lalu.
Ketengah juga berharap agensi itu akan terus melangkah maju ke arah kecemerlangan, memperkukuh kesejahteraan masyarakat luar bandar, serta memperkasa pembangunan wilayah yang inklusif dan berdaya saing.
Rozi sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Ketengah Jaya Sdn Bhd (KJSB), anak syarikat milik Ketengah.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berjaya membawa KJSB meraih keuntungan sebelum cukai sebanyak RM21.4 juta bagi tahun kewangan 2024, peningkatan lebih 400 peratus berbanding RM5.12 juta yang direkodkan tahun sebelumnya. — Edisi 9

