Monday, July 20, 2026

UMNO Terengganu sudah persiapkan calon hadapi PRU-16

Ketua UMNO bahagian sudah diminta menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga calon bagi setiap kawasan DUN dan Parlimen. 

Mesti Baca

UMNO Terengganu sudah mengenal pasti senarai calon yang akan diketengahkan bertanding di 32 kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) dan lapan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, calon sudah dikenal pasti tetapi belum dimuktamadkan. 

Katanya, Ketua UMNO bahagian sudah diminta menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga calon bagi setiap kawasan DUN dan Parlimen. 

“Calon yang disenaraikan untuk bertanding akan diselaraskan UMNO pusat,” katanya pada majlis santuni Ramadan peringkat UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang, semalam. 

Rozi yang juga Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu mengulas persiapan parti itu susulan spekulasi kemungkinan PRU-16 akan diadakan tahun ini, walaupun tempoh penggal masih berbaki lebih setahun. 

Pemerhati serta penganalisis politik meramalkan PRU-16 akan diadakan lebih awal dan dijangka berlangsung pada suku keempat tahun ini iaitu sekitar Oktober hingga Disember depan atau mungkin lebih awal iaitu menjelang pertengahan Jun ini. 

Mengenai pengagihan kerusi dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, Rozi berkata, perkara itu belum dibincangkan tetapi UMNO sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-16. 

Ditanya kemungkinan pemimpin Bersatu yang dipecat akan kembali kepada UMNO, Rozi berkata, parti sedia menerima sesiapa sahaja untuk kembali bersama. 

“UMNO negeri tidak bermasalah dan bersedia membuka pintu kepada sesiapa pun untuk bersama berjuang bersama parti. 

“Syarat bekas pemimpin parti untuk kembali bersama UMNO akan ditentukan di peringkat pusat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum terima sebarang permohonan bekas pemimpin Bersatu.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan