KERAJAAN memberi jaminan bahawa proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan kekosongan kedua-dua jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara.
Menurutnya, kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat dan komited memastikan integriti institusi kehakiman terus terpelihara sebagai tunjang utama kedaulatan undang-undang negara.
“Pelantikan Ketua Hakim Negara akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Azalina, proses rundingan akan dilaksanakan bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini.
Sementara itu, berikutan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kini menjalankan tugas-tugas Ketua Hakim Negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 131A Perlembagaan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
“Ini penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan tidak terganggu dan sistem kehakiman terus berjalan seperti biasa,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Azalina menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tetap komited untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman, termasuk meneliti langkah-langkah reformasi jangka panjang demi meningkatkan ketelusan serta kebebasan badan kehakiman.
Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan proses pelantikan ini dan memberikan ruang secukupnya agar prosedur perlembagaan dapat berjalan dengan lancar, demi menjamin kestabilan institusi negara. — Edisi 9

