Tuesday, July 21, 2026

ONSA: Jawatankuasa keselamatan dalam talian ditubuhkan

Ahli jawatankuasa dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran, merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil.

Mesti Baca

KERAJAAN menubuhkan satu Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang berfungsi sebagai badan penasihat strategik tertinggi yang akan memandu hala tuju keselamatan dalam talian termasuk memantau dan memberikan syor mengenai keselamatan kandungan dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 [Akta 866] yang mula berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim sebagai pengerusi serta dibantu oleh lapan anggota lain.

“Kerajaan Madani kekal komited untuk mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat, terutamanya bagi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan jenayah siber yang kian kompleks dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] yang secara rasminya bermula pada 1 Januari 2026.

“Selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Akta Keselamatan Dalam Talian, selaku Menteri yang dipertanggungkan dalam hal ini, sukacita saya umumkan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang akan berfungsi sebagai badan penasihat strategik tertinggi yang akan memandu hala tuju keselamatan dalam talian termasuk memantau dan memberikan syor mengenai keselamatan kandungan dalam talian,” katanya.

Azalina berkata, jawatankuasa tersebut bukan sekadar berperanan secara pentadbiran, sebaliknya menjalankan fungsi substantif.

Ia meliputi pemberian nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimwsua Malaysia (MCMC) berhubung pengelasan kandungan memudaratkan dan kandungan prioriti.

Antaranya, kata beliau, penganiayaan seksual kanak-kanak serta fraud kewangan, penentuan kaedah analisis risiko dan strategi mitigasi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian.

Turut diberi tumpuan ialah penilaian keberkesanan mekanisme aduan serta pemantauan penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang.

Tugas lain, termasuk melaksanakan penyelidikan teknikal dan analisis pakar terhadap trend baharu jenayah siber termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan deepfakes.

“Bagi menjamin ketelusan dan kredibiliti, ahli jawatankuasa ini dilantik daripada pelbagai latar belakang kepakaran, merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil,” katanya.

Pelantikan jawatankuasa itu untuk tempoh tiga tahun bermula semalam sehingga 31 Disember 2028.

Azalina berkata, Kerajaan Madani kekal komited untuk memastikan bahawa hak kebebasan bersuara dihormati, namun dalam masa yang sama, tidak akan berkompromi terhadap keselamatan rakyat, terutamanya golongan rentan. 

ONSA 2025 yang menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

MCMC berkata, ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.

MCMC berkata, ini termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

“ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). ONSA tidak terpakai terhadap pengguna individu,” kata MCMC. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan