Tuesday, July 21, 2026

J/Kuasa Keselamatan Dalam Talian tidak jejas kedudukan MCMC

MCMC kekal sebagai pengawal selia utama dan tunggal bagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] - Azalina Othman Said

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PENUBUHAN Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian tidak akan menjejaskan kedudukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pengawal selia utama dan tunggal bagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866].

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawatankuasa tersebut berperanan sebagai platform penyelaras dan penasihat strategik merentas sektor bagi mengenal pasti risiko serta tren bahaya dalam talian secara menyeluruh.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga menjalankan kajian teknikal dan analisis pakar; menyelaras konsultasi pelbagai pihak termasuk industri, akademia, pakar teknologi dan organisasi masyarakat sivil; dan mengemukakan syor dasar kepada pembuat dasar dan pengawal selia.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal sebagai pengawal selia utama dan tunggal bagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

“Melalui akta ini, mandat MCMC diperkukuh bagi memimpin penyiasatan, penguatkuasaan dan tindakan terhadap platform yang gagal melindungi pengguna; kuasa MCMC tidak terjejas.

“Manakala Jawatankuasa hanya menyediakan analisis strategik, data teknikal dan pandangan pakar untuk menyokong keputusan pengawalseliaan; dan mekanisme semak imbang diperkasa bagi memastikan keputusan pengawalseliaan lebih telus, berasaskan bukti dan tidak menjejaskan kebebasan bersuara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Pro Team Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian di Kuala Lumpur hari ini.

Azalina berkata, sebelum akta tersebut berkuat kuasa sepenuhnya, Jawatankuasa Pro Tem ditugaskan untuk menetapkan hala tuju strategik, keutamaan dasar dan kerangka tadbir urus agar pelaksanaan akta tersebut berjalan teratur dan berasaskan bukti.

Katanya, setelah akta tersebut mula berkuat kuasa, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh mantan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Sementara itu, dalam mesyuarat hari ini, antara tumpuan yang diberikan termasuk ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya fenomena deepfake serta perbincangan mengenai draf Terma Rujukan (ToR) Jawatankuasa.

Turut dibincangkan mengenai libat urus dengan kementerian, agensi serta wakil masyarakat sivil seperti Article 19 dan Center for Independent Journalism (CIJ) bagi memastikan pendekatan inklusif dan seimbang.

“Kerajaan Madani kekal komited mewujudkan ekosistem digital yang selamat, beretika dan seimbang.

“BHEUU, JPM akan terus memperkukuh kerangka perundangan negara agar seiring perkembangan teknologi global, sambil mengekalkan keseimbangan antara kebebasan bersuara, tanggungjawab undang-undang dan kepentingan awamm,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan