Monday, July 20, 2026

BERSIH gesa pengundi Sabah tolak sepenuhnya politik wang

Antara yang direkodkan termasuk pengagihan bantuan melalui agensi kerajaan, penyerahan geran tanah oleh calon parti pemerintah, pengumuman peruntukan...

Mesti Baca

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa pengundi di Sabah untuk menolak politik wang secara total sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang berlangsung ketika ini.

Menurut BERSIH, hasil pemantauan pihaknya mendapati hampir 50 kejadian kesalahan pilihan raya direkodkan setakat ini, merangkumi pelbagai bentuk jamuan, pemberian hadiah dan barangan seperti bakul makanan, barangan dapur serta program mengisi minyak motor percuma yang didakwa bertujuan mempengaruhi undi pengundi.

BERSIH menegaskan, tindakan memberi barangan atau bantuan ketika tempoh kempen walaupun atas nama kebajikan tetap merupakan satu bentuk penganuan yang menjejaskan integriti proses pilihan raya.

Lebih membimbangkan, kata gabungan itu, terdapat banyak laporan mengenai penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan politik. 

“Antara yang direkodkan termasuk pengagihan bantuan melalui agensi kerajaan, penyerahan geran tanah oleh calon parti pemerintah, pengumuman peruntukan serta penggunaan program rasmi kerajaan bagi menaikkan imej calon tertentu.

“Perkara ini memberi kelebihan tidak adil kepada pihak pemerintah dan mengaburkan garis pemisah antara urusan kerajaan serta kempen parti,” kata BERSIH dalam kenyataan hari ini.

Senarai penuh kejadian kesalahan yang direkodkan boleh dirujuk melalui laman Pemantau BERSIH.

BERSIH turut memaklumkan bahawa pihak pemantau menerima beberapa laporan cubaan membeli undi secara langsung, sama ada dalam bentuk wang tunai atau imbuhan tertentu sebagai balasan sokongan politik.

Perbuatan sebegini, tegasnya, adalah pelanggaran serius undang-undang pilihan raya.

Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa pemberian wang untuk mendapatkan undi merupakan kesalahan di bawah Seksyen 10 Penyogokan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Manakala jamuan dan pemberian barangan bernilai boleh disabitkan di bawah Seksyen 8, Bahagian III akta sama. 

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.

BERSIH sekali lagi mengulangi desakan supaya kerajaan meminda akta berkaitan dan memberikan kuasa kompaun kepada SPR agar tindakan segera dapat diambil terhadap pelaku politik wang.

Gabungan itu turut menasihatkan pengundi Sabah agar tidak terpengaruh dengan alasan “ambil duit tetapi undi lain”, sambil mengajak rakyat menolak sepenuhnya amalan tersebut demi masa depan politik negeri.

“Sabah tidak boleh terus membiarkan habuan sementara menjadi penentu undi. Pemimpin yang dipilih mesti berintegriti dan mampu menjaga kepentingan rakyat dalam jangka panjang,” tegas BERSIH.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan