Thursday, June 4, 2026

Pengeksport sarung tangan getah wajib ambil sumber tempatan

Langkah itu diambil bagi menjamin kualiti produk dan kemampanan industri sarung tangan getah negara.

Mesti Baca

SYARIKAT pengeksport sarung tangan getah yang berlesen dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanya dibenarkan mengeksport sarung tangan getah yang diperoleh daripada sumber kilang pembuatan tempatan sahaja berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, langkah itu diambil bagi menjamin kualiti produk dan kemampanan industri sarung tangan getah negara.

Katanya, ia sebagai langkah pencegahan terhadap risiko Malaysia menjadi destinasi pengalihan perdagangan (trade diversion) dari negara lain.

“Ini juga susulan perkembangan global yang memperlihatkan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan antarabangsa, termasuk perubahan dasar-dasar pasaran utama dunia yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan pasaran eksport produk getah.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan peningkatan import sarung tangan getah yang boleh menjejaskan daya saing industri getah domestik,” kata kenyataan kementerian hari ini. .

Untuk rekod, Malaysia merupakan antara pengeluar dan pengeksport utama getah dan produk berasaskan getah, dengan nilai eksport mencecah RM 33.7 billion pada tahun 2024.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15.41 bilion atau 45.8 peratus disumbangkan oleh sektor sarung tangan getah sahaja.

KPK berkata, di samping itu, LGM juga giat menjalankan Operasi Bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan dalam sektor sarung tangan getah demi menjaga imej dan daya saing industri getah negara.

“Kementerian dan LGM akan terus memantau secara dekat perkembangan semasa perdagangan dunia dan sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan langkah-langkah proaktif dalam melindungi kepentingan keseluruhan industri getah negara, termasuk semua produk getah,” katanya.

Dalam jangka masa terdekat, KPK berkata, pihaknya juga akan meneliti pendekatan jangka panjang yang bersesuaian dengan perubahan landskap geopolitik dan ekonomi global, demi memastikan daya tahan dan kebolehpasaran industri getah Malaysia terus dipertahankan. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan