Tuesday, July 21, 2026

USM memacu bidang pergigian menerusi penyelidikan

Graduan pergigian bukan sahaja perlu mahir dalam aspek klinikal, tetapi juga mampu membaca, memahami dan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

DALAM landskap kesihatan moden yang sentiasa berkembang, bidang pergigian kini turut menuntut pendekatan yang lebih dinamik dan berasaskan bukti.

Seiring kemajuan teknologi dan keperluan masyarakat, bidang pergigian tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan konvensional.

Maka, bidang penyelidikan memainkan peranan utama dalam membentuk amalan klinikal dan pendidikan pergigian yang dinamik demi memenuhi keperluan masa depan.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Norhayati Luddin berkata, graduan pergigian bukan sahaja perlu mahir dalam aspek klinikal, tetapi juga mampu membaca, memahami dan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti.

Bahkan beliau berkata, perkara itulah antara kunci kemajuan kepada bidang kesihatan pergigian.

“Kita perlu memanfaatkan potensi teknologi termasuk AI bagi memperkasakan bidang pergigian, terutamanya dalam bidang diagnosis, perancangan rawatan dan penyelidikan berkaitan kesihatan penduduk,” katanya.

Dr Aziah Ismail (dua kiri) dan Dr Norhayati Luddin (dua kanan) bersama Dr Asmani Abdul Razak (kiri) dan Dr Nurulezah Hasbullah serta pasa peserta persidangan.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Saintifik Pelajar Pergigian Ke-22 di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan baru-baru ini.

Persidangan itu yang dilancarkan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail. Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan (Pergigian) Kelantan, Dr Asmani Abdul Razak.

Bertemakan Improving Dental Practices via Research, persidangan tersebut menjadi platform kepada para pelajar prasiswazah membentangkan hasil kajian serta berkongsi dapatan penyelidikan mereka.

Sementara itu Pengarah Program, Dr. Nurulezah Hasbullah berkata, persidangan terebut bukan sekadar rutin akademik, tetapi usaha kolektif yang bersungguh-sungguh dalam membina pelajar yang lebih peka terhadap keperluan masyarakat serta celik penyelidikan.

“Kehadiran pelajar antarabangsa serta kualiti dapatan penyelidikan yang dibentangkan jelas membuktikan bahawa kita mampu melahirkan barisan pelapis penyelidik pergigian yang berkualiti,” katanya.

Persidangan tersebut turut disertai para pelajar antarabangsa dari Universitas Padjajaran dan Universitas Sumatera Utara, Indonesia serta Jouf University, Arab Saudi.

Beliau berkata, kehadiran dua panel jemputan untuk sesi ucaptama menambah nilai kepada program tersebut, membincangkan isu-isu semasa berkaitan status kesihatan pergigian serta cabaran dan peluang penyelidikan kecerdasan buatan (AI) dalam pergigian.

“Melihat semangat pelajar dari pelbagai negara membentangkan hasil penyelidikan masing-masing, saya percaya kolaborasi antarabangsa sebegini mampu memajukan bidang pergigian ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Selain sesi pembentangan penyelidikan, persidangan ini turut menyelitkan pertandingan pembentangan lisan terbaik dan e-poster terbaik dengan pelajar antarabangsa turut mengungguli beberapa kategori pertandingan.

Persidangan itu turut diserikan dengan hiasan bunga segar di pentas utama hasil tajaan Expressions Floral Hub, menambah seri acara yang sudah sedia meriah.

Lebih istimewa, ia menjadi medan pelajar bukan sahaja mempersembahkan dapatan kajian, malah berinteraksi, bertukar idea dan membina jaringan penyelidikan. – Oleh DR AFAF SYAHIRA AHMAD SATMI dan DR NURULAQMAR IWANI SAMSUDIN/Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan