Monday, July 20, 2026

SPM 2025: MRSM cipta lonjakan luar biasa – Zahid

Daripada kesemua 55 MRSM seluruh negara, sebanyak 10 sekolah tersebut mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50 berbanding hanya satu MRSM pada tahun lalu. 

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa bangga apabila Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencatatkan lonjakan luar biasa dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, tatkala pencapaian keseluruhan yang terbaik sejak 2013.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, gred purata (GP) calon SPM daripada MRSM meningkat 1.892 berbanding  2.392 pada tahun lalu.

Beliau berkata, daripada kesemua 55 MRSM seluruh negara, sebanyak 10 sekolah tersebut mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50 berbanding hanya satu MRSM pada tahun lalu. 

“Keputusan ini mencerminkan kecemerlangan dan dedikasi para pelajar yang telah berusaha untuk mencapai keputusan yang cemerlang tanpa berputus asa beserta pengorbanan dan sokongan berterusan dari ibu bapa serta para pendidik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid memberitahu, daripada 7,650 calon MRSM, seramai 1,670 atau 21.83 peratus memperoleh gred semua A (A+ ,A dan A-) iaitu meningkat berbanding 1,131 pelajar pada SPM 2023.

Katanya, pada tahun 2023, seramai 50 calon MRSM memperoleh keputusan semua A+ (10A+ dan 9A+) dalam semua subjek yang diambil manakala tahun ini meningkat kepada 69 orang iaitu lapan calon memperoleh 10A+ dan 61 calon memperoleh 9A+.

“Daripada keseluruhan 55 MRSM seluruh negara, 54 MRSM berjaya mencatatkan peningkatan GP. 

“MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau menunjukkan peningkatan GP tertinggi dengan masing-masing menunjukkan lonjakan GP sebanyak 1.408 dan 1.171,” katanya.

Zahid berkata, apa jua keputusan yang diperoleh, ia merupakan permulaan langkah ke peringkat kehidupan seterusnya yang akan mencorakkan masa depan, sama ada meneruskan pengajian akademik, menyertai dunia pekerjaan, atau menceburi bidang teknikal dan kemahiran.

“Ruang pendidikan sentiasa terbuka luas kepada semua calon SPM. Selain laluan akademik di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Kerajaan turut menyediakan jalur pendidikan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini diiktiraf sebagai pemacu utama pembangunan negara. 

Sementara itu, Zahid mempelawa para lepasan SPM untuk menceburi bidang pendidikan dan latihan kemahiran dan teknikal (TVET).

Katanya, beliau selaku Pengerusi Majlis TVET Negara komited untuk memastikan agenda TVET diangkat sebagai salah satu aliran pendidikan utama, bukan sekadar pilihan alternatif bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik. 

Katanya, kerajaan telah menyediakan saluran UP_TVET sebagai platform rasmi bagi memohon dan melanjutkan pengajian dalam bidang ini.

“Kini, terdapat 12 Kementerian yang menawarkan program TVET melibatkan 1,398 institusi TVET dengan jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 436,285 peserta berbanding 407,038 pada 2023. 

“Kadar kebolehpasaran graduan TVET mencecah 94.5 peratus termasuk kebolehpasaran graduan daripada institusi TVET di bawah MARA pula pada kadar 98.7 peratus,” katanya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan