SUDAH sampai masanya Kerajaan mempertimbangkan harga lantai getah beku dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini untuk mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh kira-kira 320,000 pekebun kecil getah di seluruh negara disebabkan kenaikan kos sara hidup.
Menurut beliau, golongan penoreh getah di kampung-kampung pada masa
kini terjejas teruk kerana kejatuhan harga komoditi itu.
“Saya mahu tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan untuk meningkatkan harga getah beku,”katanya.
Menurut beliau, Kerajaan terdahulu telah memperkenalkan penggunaan
getah beku yang dicampur bitumen atau dikenali sebagai Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) bagi kegunaan menurap jalan kampung di seluruh negara.
“Malah sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk pembangunan teknologi CMB dan 59 lokasi telah mendapat manfaat dengan pembinaan turapan jalan Cuplump Modified Asphalt (CMA) melibatkan jalan sepanjang 202.68 km.
“Saya difahamkan hanya 0.08 peratus daripada jumlah semasa pengeluaran getah negara digunakan dalam penurapan jalan menggunakan teknologi (CMB) pada 2019.
“Jadi, apakah status pelaksanaan program ini kerana ia terbukti mampu meningkatkan penggunaan getah yang secara tidak langsung akan membantu menambah pendapatan pekebun kecil,”katanya. – Edisi 9