MALAYSIA giat menilai implikasi daripada perubahan-perubahan tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump termasuk penangguhan kenaikan dan mengenakan tekanan ke atas China.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz berkata, pada masa sama Malaysia juga komited meneruskan kerjasama dengan rakan-rakan negara ASEAN dalam mengurangkan gangguan, memperkukuh daya tahan ekonomi serantau serta memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil.
“Perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, dan kami mengalu-alukan sokongan daripada rakan-rakan yang berkongsi visi ini dan mahu melihat kita semua berjaya,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, beliau mengalu-alukan langkah Trump yang menangguhkan kenaikan untuk banyak negara namun mengakui ketidaktentuan tersebut menimbulkan persoalan tentang hala tuju perdagangan global dan impaknya kepada ASEAN.
Beliau berkata, perubahan terkini itu pastinya antara topik perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan beliau haru ini.
Sementara itu, beliau menegaskan, Malaysia sentiasa menjadi dan akan terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk China dan Amerika Syarikat.
“Kami komited untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu perdagangan dengan AS,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baharu, serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada, sebagai langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan semasa.
Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan usaha dalam agenda pembaharuan ekonomi negara untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing.
“Keutamaan kami adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara kita,”katanya. – Edisi 9

