Monday, July 20, 2026

Tarif Trump perlu dipandang dari sudut berbeza

Mesti Baca

Oleh COLLINS CHONG YEW KEAT
COLLINS CHONG

DALAM apa jua ukuran – ketenteraan, ekonomi atau teknologi – Amerika kekal sebagai tunjang kepada keamanan dan kemakmuran global.

Namun selama berdekad-dekad, pelaku utama kestabilan dunia ini telah dibiarkan parah dari segi perdagangan dan tarif, di mana pelaku lain mengambil kesempatan dan manfaat atas percaturan jurang trade deficit Amerika tanpa membayar sumbangan yang setimpal.

Presiden Donald J. Trump ialah pemimpin pertama dalam sejarah moden yang mengambil langkah berani sebegini. Tarif beliau bukanlah satu perjudian yang sembrono – ia adalah penyusunan semula rencana perdagangan yang adil yang diperlukan.

Dengan langkah ini, beliau bukan sahaja menyelamatkan Amerika, tetapi juga mengembalikan keseimbangan dunia dan kestabilan sistem kewangan dan ekonomi.

Jika Amerika kekal lemah dan terjejas akibat daripada kemelut kepincangan sistemik jurang perdagangan yang ketara, kekuatan pasaran dan ekonominya akan terjejas dan ini akan mencetus dampak negatif terhadap dunia, disebabkan oleh statusnya sebagai kuasa dominan ekonomi dunia dan pasaran utama dunia.

Untuk menjamin kelestarian ekosistem di mana kebanyakan negara bergantung kepada kuasa pasaran dan permintaan Amerika yang tidak boleh ditandingi negara lain, penstrukturan semula perdagangan global dengan pembetulan kadar tarif ini dilihat sebagai kritikal.

Strategi tarif Trump telah mencetuskan tindak balas global, terutamanya daripada pakar ekonomi yang masih terikat pada paradigma globalisasi lama.

Tarif ini bukanlah bentuk pengasingan proteksionis. Ia adalah pembetulan tertangguh terhadap sistem berat sebelah di mana Amerika menanggung beban dunia manakala pihak lain mempermainkan peraturan.

Sejak tamat Perang Dunia Kedua, Amerika telah memainkan peranan sebagai penjaga kestabilan global – menjamin kestabilan kewangan, memastikan laluan perkapalan dunia selamat, mempertahankan demokrasi, dan memacu pertumbuhan sejagat. Namun peranan ini sering dipandang remeh. Trump kini berkata: this stops now.

Selama puluhan tahun, negara-negara lain mengenakan tarif, manipulasi mata wang, dan memperkenalkan halangan bukan tarif demi melindungi pasaran mereka.

Tiada siapa membantah. Tetapi apabila Amerika akhirnya bertindak balas bagi melindungi sistem ini, dunia kini dipenuhi kemarahan dan kegusaran.

Tarif Trump menyerlahkan ketidakseimbangan struktur mendalam dalam sistem perdagangan global dan kesilapan disiplin fiskal yang telah menghantui Amerika sejak penamatan Gold Standard pada tahun 1971.

Liberal Day pada 2 April, menandakan era baharu yang berani. Trump telah melaksanakan penyusunan semula dasar perdagangan secara menyeluruh, bertujuan untuk membetulkan hutang Amerika yang kini mencecah USD$36 trillion, memulihkan sektor perkilangan dan pembuatan, dan menjamin keselamatan ekonomi masa depan.

Dunia memerlukan Amerika yang kuat untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan keselamatan global.

Kekuatan ketenteraan dan dominasi ekonomi Amerika yang tiada tandingan telah mengekang konflik, menghalang kezaliman, dan membentuk kerangka perdagangan serta inovasi global sejak Perang Dunia Kedua.

Semua ini datang dengan harga yang tinggi. Apa yang Trump mahukan adalah memastikan Amerika terus mendapat sokongan yang sewajarnya untuk kembali menjadi kuat dan hebat, dan dengannya, membentuk dunia yang lebih aman dan makmur.

Jika Amerika merudum atau terus lemah, ini akan mengancam untuk meruntuhkan seluruh sistem tersebut.

Trump memahami hal ini. Beliau bukan sahaja mengembalikan kegemilangan Amerika—beliau sedang menjadikan dunia ini selamat semula.

Pelan tiga serampangnya untuk mengurangkan hutang negara adalah berdasarkan logik mudah: potong perbelanjaan boros, tingkatkan hasil melalui tarif dan inovasi, dan bawa semula pekerjaan serta kilang dari luar negara kembali ke Amerika.

Di bawah kepimpinan Trump, Department of Government Efficiency (DOGE) yang diketuai oleh Elon Musk sedang mengurangkan pembaziran dan ketirisan sebanyak USD$1 trilion.

Dalam masa yang sama, pelarasan tarif dijangka menjana USD$500 bilion setahun – lebih USD$5 trilion dalam satu dekad – dengan memastikan negara-negara asing akhirnya membayar harga yang adil untuk akses ke pasaran pengguna terbesar dunia ini.

Alat kutipan hasil yang inovatif, seperti inisiatif Gold Card, juga dijangka menjana satu trilion dolar. Secara keseluruhan, langkah-langkah ini akan membolehkan Amerika mengurangkan hutang, menurunkan cukai, dan memacu pertumbuhan, sekaligus mewujudkan kitaran ekonomi yang mampan.

Pengkritik berhujah bahawa tarif akan mencetuskan inflasi. Namun strategi Trump yang berpaksikan tenaga – menggiatkan semula industri minyak dan gas tempatan, memulihkan sektor perkilangan, dan mengurangkan peraturan dan kekangan perniagaan – akan menjadi penampan bagi sebarang lonjakan harga jangka pendek.

Apabila pekerjaan kembali dan gaji meningkat, permintaan pengguna akan bertambah kukuh. Tekanan inflasi akan berkurang hasil daripada peningkatan produktiviti, hasil negara dan kemakmuran. Ini juga akan menguntungkan negara lain yang bersandarkan kepada permintaan pengguna Amerika.

Secara mudahnya, tarif ialah cukai terhadap negara asing. Amerika mengimport barangan bernilai USD$3 trilion setiap tahun. Ia adalah pelanggan terbesar di dunia.

Tiada siapa yang mampu kehilangan akses kepada pasaran ini. Negara yang cuba membalas tarif Trump ini dengan tindakan serupa akan terpinggir, manakala mereka yang berunding akan menikmati manfaat.

Mesej Trump jelas: turunkan halangan tarif, beroperasi secara adil, dan makmur bersama, atau bersedia menerima pembetulan tarif yang telah lama tertangguh.

Bagi Malaysia, dengan lebihan dagangan sebanyak USD$24.8 bilion dengan Amerika Syarikat, kita adalah antara penerima manfaat terbesar daripada pasaran Amerika.

Namun jika Malaysia bertindak balas terhadap tarif Trump dengan reaksi terburu-buru secara tegas atau melalui pendirian untuk beralih kepada BRICS atau sokongan terhadap de-dollarisation, kita berisiko kehilangan bukan sahaja akses ke pasaran AS, malah pelaburan, kerjasama teknologi, dan jaminan keselamatan strategik.

Sebaliknya, Malaysia harus mencontohi Vietnam dan kini EU, yang mencadangkan model tarif sifar untuk sifar, dengan berunding segera, menurunkan tarif, dan mendapatkan perjanjian baharu yang memperkukuh hubungan dengan Amerika.

Mereka yang berlengah dalam rundingan tarif ini akan ketinggalan dan seterusnya mengalami kerugian. Eric Trump menyatakan dengan jelas: “Yang terakhir berunding akan kehilangan segalanya.”

Amaran ini seharusnya bergema di seluruh ASEAN. Kini bukan masanya untuk membalas dengan ancaman atau ilusi kuasa tawar-menawar yang lebih kuat dengan berpihak kepada BRICS atau kekuatan kolektif ASEAN.

Hakikatnya, tiada blok alternatif atau sistem lain yang mampu menandingi atau mengejar kekuatan perdagangan, pasaran, ekonomi dan keselamatan Amerika, walaupun dalam tahun-tahun mendatang.

Pandangan fantasi bahawa BRICS, RCEP atau kekuatan ekonomi China boleh menggantikan Amerika Syarikat hanyalah fantasi semata-mata.

China sedang berdepan kekangan domestik dan ekonomi secara berstruktur, dengan kadar pengangguran yang meningkat, generasi muda yang terputus arah, kemerosotan demografi, dan pertumbuhan ekonomi yang tidak berkembang.

BRICS pula kekurangan kesatuan dan alternatif berdaya saing kepada dolar. ASEAN pula, meskipun berpotensi, masih berpecah-belah dan masih tidak memiliki kekuatan teknologi, institusi, atau keselamatan seperti yang dimiliki Amerika, bahkan dalam dekad akan datang.

Malaysia memerlukan Amerika – bukan hanya untuk perdagangan, tetapi juga bagi pertahanan, kepimpinan teknologi, dan pelaburan.

Amerika ialah pelabur berkualiti terbesar di Malaysia, mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan dan menerajui transformasi ekonomi digital negara.

Lebih 70% pelaburan baharu AS di Malaysia datang daripada syarikat Fortune 500. Sejak 2017, lebih RM1 bilion bantuan keselamatan telah diberikan untuk memperkukuh pertahanan dan jaminan keselamatan kita. Hubungan ini mesti dipelihara.

Tarif Trump memaksa dunia menerima satu hakikat mudah: tiada pengganti untuk Amerika Syarikat. Tiada negara lain yang mampu menandingi kekuatan demografi, dinamik keusahawanan, kedalaman pasaran, atau kekuatan ketenteraan Amerika.

Seperti yang dibuktikan oleh sarjana seperti Acemoglu dan Robinson, Amerika mendahului dalam keempat-empat faktor utama kuasa negara berkekalan – institusi politik dan ekonomi, warisan sejarah, dan sistem inklusif.

Sementara dunia lain meramalkan “era pasca-Amerika”, Trump sedang membentuk abad Amerika yang baharu. Dalam hanya tiga bulan penggal keduanya, lebih USD$5 trilion pelaburan telah mengalir masuk.

Majikan-majikan Amerika menambah 228,000 pekerjaan pada bulan Mac. Kadar penyertaan tenaga kerja semakin meningkat. Dasar Trump sedang membuahkan hasil.

Amerika yang makmur dan berdikari bermakna kestabilan global. Ekonomi Amerika yang kukuh menyokong berjuta-juta pekerjaan di seluruh dunia – melalui perdagangan, pelaburan, inovasi, dan pertahanan.

Kepimpinan Amerika dalam tenaga, keselamatan konvensional, AI dan pembuatan berteknologi tinggi akan membentuk abad akan datang.

Tanpa Amerika, sistem global bakal terpalit dalam ketidakpastian dan ketidakstabilan keamanan dan ekonomi antarabangsa. Dengan kepimpinan Trump, ia sedang dibina semula atas asas yang lebih kukuh dan adil.

Kepimpinan beliau bukan sahaja menghidupkan semula American Dream, tetapi memberi peluang kepada era pertumbuhan bersama dan keharmonian global, kerana Amerika yang kuat dan selamat dari segi kewangan bermakna dunia yang kuat dan selamat juga, dan mengembalikan keadilan dalam perdagangan global.

Ia menjamin kelangsungan sistem antarabangsa berasaskan peraturan, dan menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran bukan percuma – tetapi dengan harga tinggi yang telah lama ditanggung oleh Amerika secara bersendirian.

Selama beberapa dekad, Amerika adalah tulang belakang dunia. Trump sedang memperbaiki tulang belakang itu. Beliau sedang memulihkan American Dream dan, bersamanya, impian sebuah dunia yang bebas dan makmur.


Penulis adalah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9. - Editor

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan