Wednesday, July 22, 2026

Dasar tarif import Trump jejas aliran perdagangan bebas – Anwar

Sebarang dasar perdagangan haruslah dirunding secara telus dan inklusif bagi mengelakkan ketidakseimbangan ekonomi yang boleh membebankan negara-negara membangun.

Mesti Baca

MALAYSIA menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan unilateral Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import sehingga 25 peratus boleh memberi kesan negatif kepada aliran perdagangan bebas dan pertumbuhan ekonomi negara membangun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar sedemikian, sebagaimana diumumkan semula oleh Presiden Donald Trump, memberi isyarat yang kurang meyakinkan terhadap komitmen AS terhadap sistem perdagangan global yang adil dan saksama.

“Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara AS, Marco Rubio di Putrajaya hari ini.

Anwar menegaskan, Malaysia berpandangan bahawa sebarang dasar perdagangan haruslah dirunding secara telus dan inklusif bagi mengelakkan ketidakseimbangan ekonomi yang boleh membebankan negara-negara membangun.

“Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun,” katanya.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan langkah memperluas kerjasama dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan dan pendidikan.

Malaysia dan AS juga bersetuju untuk terus memperkukuh hubungan dua hala ke arah pembentukan Perkongsian Strategik Komprehensif, yang diyakini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi kedua-dua negara.

Pada peringkat serantau, Anwar dan Rubio turut bertukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa termasuk konflik berpanjangan di Palestin, krisis di Ukraine serta situasi politik di Myanmar yang masih membelenggu Asia Tenggara.

Pada kesempatan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini. 

“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan