SELURUH warga kerja Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu berjuang mengembangkan lagi institusi itu dan tidak hanya mempertahankan legasi yang ada.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, MARA telah berjaya berada sehingga ke tahap pada hari ini, dan kini tanggungjawab warganya untuk membawa agensi itu terbang lebih tinggi.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, semua warga MARA perlu kembali menghayati asas penubuhan agensi itu dan ia bukan bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi satu perjuangan.
“Kita tidak boleh terperangkap dalam zon selesa, hanya menjalankan rutin pentadbiran.
“Sebaliknya, warga MARA perlu menjadi pemikir strategik, perancang masa hadapan, dan pemangkin perubahan yang memastikan kemajuan Bumiputera kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Wacana Qiadah MARA di Kuala Lumpur malam tadi. Petikan ucapannya dimuatkan dalam Facebook beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Zahid berharap segala usaha yang dilakukan akan diberkati dan meninggalkan warisan yang bermakna untuk generasi akan datang.
Untuk rekod, MARA ditubuhkan pada1 Mac 1966 sebagai sebuah badan korporat berkanun yang tertakluk di bawah Akta Parlimen hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun 1965.
Tanggungjawab utama MARA adalah bagi memaju, menggalak, memudah serta melaksanakan pembangunan sosioekonomi dan kemasyarakatan khususnya di kawasan luar bandar. – Edisi 9

