BALAI Seni Negara dengan sukacita mengadakan Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun, yang berlangsung bermula 4 Mac hingga 1 September 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara.
Pameran ini bertujuan memperkenalkan serta menghidupkan semula legasi Chen Sun sebagai pelukis dakwat Cina dan pendidik seni yang berpengaruh di Malaysia.
Merupakan siri ketiga dalam Projek Arkib Balai Seni Negara, pameran ini menampilkan pelbagai bahan arkib seperti foto, lakaran, katalog dan wawancara yang memberi gambaran mendalam mengenai proses kreatif beliau.
Selain karya dakwat Cina yang menjadi identitinya, pameran ini turut mengetengahkan lukisan minyak dan pastel yang jarang dipamerkan, memperlihatkan evolusi gaya seni beliau sepanjang kariernya.
“Sebagai salah seorang pengasas Malaysian Institute of Art (MIA), Chen Sun bukan sahaja memberi sumbangan besar dalam dunia seni lukis, malah dalam pendidikan seni,” kata Balai Seni Negara dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya, pameran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Balai Seni Negara untuk memelihara, pendokumentasi dan mempersembahkan warisan seni negara.
Tambahnya, menerusi koleksi arkib yang kaya, pameran ini bukan sekadar menjadi sumber rujukan sejarah, tetapi turut memperkaya pemahaman tentang sumbangan beliau terhadap seni tempatan dalam konteks sejarah dan budaya Malaysia.
Menariknya, pameran ini disusun berdasarkan falsafah Konfusianisme sebagai kerangka utama, dengan tema pameran dibahagikan kepada enam segmen.
Pendekatan ini mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjiao (Tiga Ajaran), yang menggabungkan elemen Daoisme, Konfusianisme dan agama Buddha dalam karya serta pemikiran Chen Sun.
Enam segmen utama merangkumi Nasional ke Antarabangsa, Pertukaran Budaya dan Seni Antara Malaysia & China, Modernisasi Lukisan Dakwat: Gabungan Seni Timur dan Barat, Pendidikan Seni, Peribadi & Keluarga serta Penderma Karya Seni.
Pembahagian segmen ini turut memudahkan pelawat dalam memahami keseluruhan pameran dengan lebih jelas.
Projek Arkib: Chung Chen Sun bukan sekadar menelusuri perjalanan seni seorang tokoh, tetapi turut menghubungkan seni, pendidikan dan budaya dalam ruang penuh makna.

Para pengunjung berpeluang menyelami warisan seni serta intelektual beliau melalui artifak, naratif dan pengalaman pameran yang lebih mendalam.
Justeru, orang ramai dijemput untuk melawat dan menghayati warisan seni serta intelektual Chen Sun yang penuh inspirasi.
Pameran dibuka setiap hari bermula hari ini hingga 1 September 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara. Masuk adalah percuma.
Untuk maklumat lanjut, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara. – Edisi 9

