27.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, February 15, 2025

Impak berangkai percaturan strategik Malaysia-Singapura

Mesti Baca

Oleh COLLINS CHONG YEW KEAT
COLLINS CHONG

PERTEMUAN Tahunan antara Singapura dan Malaysia serta lawatan Perdana Menteri, Lawrence Wong pada 6 dan 7 Januari lalu menjadi simbolik kesedaran strategik tentang kepentingan bersama kedua-dua negara.

Walaupun isu lama yang membelenggu hubungan bilateral masih tidak diselesaikan sepenuhnya, kedua-dua pihak sedar tentang kepentingan untuk tidak berada di takuk lama, dan untuk meneruskan momentum kerjasama strategik terutama dalam bidang kritikal ekonomi baharu dalam meraih pulangan positif jangka panjang bersama.

Malaysia dan Singapura membuka semula pintu rundingan beberapa isu tertangguh membabitkan ruang udara, sempadan maritim dan bekalan air.

Ini diperlukan dalam menyuntik ruang keyakinan baharu dalam membina tahap kerjasama sektor strategik yang diperlukan kedua-dua pihak, dalam menyedari laluan dan likuan yang dihadapi bersama dalam kancah persaingan geopolitik dan ancaman bentuk baharu.

Pasukan teknikal membabitkan kedua-dua negara akan membincangkan parameter yang berkaitan dalam isu-isu ini untuk memastikan bahawa ia tidak menjejaskan usaha untuk mempertingkat pertalian ekonomi baharu ini.

Bagi Lawrence, adalah penting untuk mewujudkan kesinambungan momentum serta meningkatkan hubungan peribadi, kepercayaan, dan persahabatan pada tahap tertinggi dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawrence turut sedar bahawa legasi formulasi dasar luar dan haluan geostrategik Singapura perlu disuntik rencana strategik baharu di bawah kepimpinannya, di mana tuntutan domestik dan perubahan fabrik keselamatan dan kuasa serantau dan global memerlukan kelestarian dalam pembolehubah kuasa dan perancangan yang pragmatik untuk adaptasi pantas.

Realiti sinergi dan kebergantungan dua pelaku yang terikat secara geografi, ekonomi dan sumber alam menjadi tunjang hakikat kepada rencana kuasa kedua-dua negara, dan ini diterjemahkan dalam penyesuaian pertalian dalam meraih pulangan bersama yang bersandarkan kepada realiti ekonomi dan pelaburan sektor baharu dalam persaingan sengit kepentingan geopolitik.

Bagi Singapura, ia sedar pentingnya untuk memanfaatkan model Malaysia dalam hala tuju ASEAN tahun ini, terutamanya ketika negara itu sedang berusaha membangunkan versi pragmatik dasar luarnya dan dalam usahanya untuk melaksanakan pendekatan friendshoring yang rumit dalam berurusan dengan China dan sekutu pentingnya, Amerika Syarikat (AS).

Perbincangan antara delegasi Singapura dan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

Ini juga merupakan strategi bagi Lawrence untuk menetapkan hala tuju dan gaya kepimpinannya sendiri sebagai mesej kepada Malaysia dan rantau ini, dengan menggunakan Pertemuan Tahunan ini sebagai platform untuk membina daya tahan masa depan dan mencorak pemahaman tentang hala tuju kepimpinan tertinggi Singapura.

Singapura juga turut terpalit dalam kancah cabaran geopolitik baharu yang tidak menentu, dalam menelusuri dilema meningkatkan kebergantungan tradisional kepada Barat dan pada masa yang sama menambah kebergantungan kepada kuasa alternatif, termasuk entiti ASEAN dan Global South.

Dalam jaluran ini, peranan Malaysia dalam membentuk norma dan polisi ASEAN dalam kepengerusian tahun ini untuk memastikan pulangan ekonomi dan politik yang diperlukan bagi Singapura dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam usaha Singapura untuk meningkatkan kebergantungan ekonominya serta de-risking and re-shoring efforts, Singapura tidak mahu dilihat sebagai terlalu ketara dalam pendekatan memikat Barat untuk mengurangkan risiko daripada kemungkinan tindakan balas atau pendekatan baharu oleh China.

Dengan meningkatkan kebergantungan dan kebergantungan bersama dengan Malaysia, ini menjadi sumber jaminan ekonomi, makanan, dan tenaga yang terdekat dan terjamin.

Walaupun isu-isu sensitif dan kritikal antara kedua-dua negara masih belum diselesaikan dan sedang ditangani dengan berhati-hati, kedua-dua pihak menyedari bahawa keperluan untuk melangkaui halangan sistemik ini adalah lebih menguntungkan.

Ancaman Pelbagai Penjuru yang Serupa

Lawatan dan Pertemuan Tahunan ini menetapkan sentimen kepercayaan untuk mengukuhkan hubungan masa depan dalam mengorientasikan visi baharu kerjasama tahap tertinggi masa depan.

Paksi keselamatan makanan dan kepentingan rantaian bekalan Singapura sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek akan terus bergantung kepada Malaysia.

Lawrence menyedari bahawa persepsi, tuntutan, dan kepercayaan baharu dalam kalangan khalayak domestik Singapura telah berubah dan untuk beliau menetapkan hala tuju tadbir urus baharu, Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan keselamatan yang berterusan.

Ancaman dan cabaran bersama yang baharu di rantau ini seperti potensi konflik masa depan di Laut China Selatan dan Selat Taiwan, di mana kedua-dua pihak berkongsi dilema keselamatan yang sama terhadap ancaman maritim dan persaingan kuasa besar, kedua-duanya ingin memperkukuh langkah cegah rintang yang lebih berkesan dan menangani jurang kuasa dan keselamatan yang serupa.

Advertisements

Mekanisme dan usaha pertahanan sedia ada termasuk Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) dianggap tidak mencukupi dalam menyediakan jaminan pertahanan bersama yang nyata dan realistik serta rangka kerja yang lebih terjamin dan tersusun dalam menghadapi sifat ancaman tradisional yang semakin kompleks diperlukan.

Dalam bidang ancaman bukan tradisional dan potensi pulangan dalam aspek geopolitik baharu, kelebihan Malaysia dalam bidang baharu termasuk mineral nadir bumi, semikonduktor, ekonomi digital, serta kelebihan keselamatan berdasarkan topografi geografi memberikan peluang untuk kemunculan Malaysia sebagai kuasa penyeimbang baharu.

Mengetahui bahawa Amerika Syarikat (AS) menikmati trade surplus dengan Singapura, Singapura melihat harapan dan kesan positif daripada pentadbiran baharu Trump 2.0.

Hubungan lebih erat dengan Malaysia diperlukan bagi memanfaatkan rangka kerja bersama dengan AS dalam mensasarkan sektor yang sama dalam pembangunan bernilai tinggi, pendekatan berasaskan nilai, serta sebagai alternatif kepada inisiatif ekonomi dan perdagangan yang cuba dipimpin oleh China.

Keperluan untuk Meraih Manfaat Jangka Panjang

Malaysia dan Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar masing-masing, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat 6.7% berbanding tempoh yang sama pada 2023. Tahun ini juga menandakan 60 tahun hubungan diplomatik.

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (ZEK-JS) menjadi simbol dalam usaha untuk berfokuskan kepada jaringan manfaat bersama dalam pulangan ekonomi dan pembentukan hab baharu teknologi tinggi.

Singapura juga bersandarkan kepada zon ekonomi khas ini, beserta dengan kelebihan geografi Johor yang lebih luas dengan peranan kelebihan logistik dan infrastruktur sedia ada dan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk memacu potensi sektor baharu.

Ini akan memberikan kelebihan kepada Singapura untuk bebas daripada kepompong dan perangkap konvensionalnya yang terikat oleh perangkat geografi dan kawasan tanah yang terhad.

Jalinan kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada Singapura dalam memperkembang jaluran and jaringan perdagangan, memperkukuh kelestarian rantaian bekalan dan memperkasa statusnya sebagai hab utama sektor berteknologi tinggi dan perdagangan yang kini boleh tertumpu kepada perluasan kapasiti dan pasaran bagi Singapura.

Malaysia perlu terus untuk strategik dan bijak untuk meraih pulangan setimpal dan lebih bagi menjamin pulangan jangka panjang.

Bagi Malaysia, ZEK-JS boleh dimanfaatkan dalam bersandarkan kepada status kukuh Singapura sebagai hab penghantaran, perdagangan dan rantaian bekalan utama dan pusat kewangan serta perkhidmatan global.

Dengan keterangkuman dan kelebihan yang ditawarkan Singapura, manfaat dan tarikan kepada pelabur asing sebagai faktor penarik bersama boleh dijadikan sebagai lonjakan kepada pulangan ekonomi negara.

Segala projek pembangunan ekonomi dan sektor pembuatan berteknologi tinggi dan transisi tenaga di Johor juga perlu dipastikan untuk memanfaatkan warga tempatan dengan penawaran peluang pekerjaan yang lestari dan berpendapatan tinggi.

Selain itu juga kepentingan untuk meraih pulangan pemindahan kepakaran dan teknologi dalam mengangkat kapasiti kepakaran tempatan, melonjak mobiliti sosial dan mencetus pembangunan bakat tempatan dan warga modal insan berkemahiran tinggi yang akan memanfaatkan objektif kerajaan dalam usaha transformasi ekonomi dan untuk mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi juga perlu diambil kira.

Dengan lebih daripada 1,000 zon ekonomi dan pelaburan serupa di ASEAN, ZEK-JS perlu menonjol dengan faktor unik yang dapat membezakannya dari yang lain.

Pada akhirnya, kedua-dua negara menyedari hakikat bahawa kedudukan geografi dan realiti saling bergantung tidak dapat dielakkan, dan kestabilan satu pihak akan mempengaruhi pihak yang lain secara langsung mahupun tidak langsung, sama ada dari segi ekonomi atau aspek keselamatan dengan ancaman domino effect.

Justeru, kestabilan dari segi ekonomi dan keselamatan merupakan faktor pertama yang penting dalam menjamin keseimbangan kedua-dua pihak dan serantau.

Walaupun kepentingan nasional menjadi nadi utama setiap pelaku negara, rencana dasar terbaik dalam memastikan ini terpelihara tidak hanya berpandukan kepada ‘pendekatan buku teks lama’ semata-mata, tetapi memerlukan kebijaksanaan strategi semasa dan masa depan, dalam mengangkat kecemerlangan dan keterjaminan pulangan lestari yang kukuh, bersepadu dan berdaya tahan.


Penulis merupakan Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9 - Editor
Advertisements

Terkini

Tiga langkah Malaysia pastikan ASEAN kekal bersaing

MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN tahun 2025 perlu melaksanakan tiga langkah utama jika mahu memastikan rantau ini terus kekal bersaing. Pensyarah...

Lagi Artikel Berkaitan